Oleh Pena Suasa

 

Peluang BA Berkuasa di Selangor (2)

 

PARA pemimpin BA di Selangor, ini ada satu pesanan yang patut diambil berat. Ia berkaitan dengan kenyataan Menteri Besar Selangor yang baru, Dr. Mohamad Khir Toyo bahawa tiga Jumaat dalam sebulan adalah masa untuk berjumpa rakyat.

 

InsyaAllah, mereka akan gagal memenuhi janji ini. Tidak pernah janji pemimpin Barisan Nasional (BN) tertunai. Janji mereka hanya akan berlaku seminggu dua selepas janji itu dibuat. Selepas itu, mereka akan melupakannya kerana mereka menganggap rakyat juga tidak akan menuntut supaya janji itu dipenuhi.

 

Kita tentunya masih ingat, Perdana Menteri sendiri berjanji ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno, 13 Mei 2000 lalu bahawa dia sendiri akan mula menyerahkan tugas-tugas Perdana Menteri kepada timbalannya, Abdullah Ahmad Badawi.

 

Kononnya dia mahu memberikan tumpuan kepada parti dan persiapan untuk berundur. Hingga hari ini, tiada satu pun tugas Perdana Menteri yang diserahkan kepada timbalannya sebaliknya dia mencengkam kuat tugas-tugasnya tanpa mahu agih-agihkan kepada sesiapa, termasuk timbalannya.

 

Dr. Mohamad Khir juga bakal gagal. Dia akan terpengaruh dengan cara dan budaya Umno, berjanji tetapi tidak mampu ditunaikan. Akhirnya, rakyat akan bosan dan BA adalah pilihan yang tepat. Di samping itu, para pemimpin BA mestilah mempunyai satu rangka kerja yang mantap, menyusun ceramah dan mengedarkan risalah-risalah bagi membekalkan maklumat kepada rakyat, penyokong dan pendokong BA.

 

Jika boleh, setiap ceramah yang dianjurkan oleh keADILan, mestilah disertai PAS. Begitu juga ceramah yang dianjurkan oleh PAS, mestilah dihadiri pemimpin PRM dan seterusnya ceramah PRM mestilah disertai pemimpin dari lain-lain gabungan BA. Dengan lain perkataan, BA mestilah terus bersatu. Kalau boleh, jadikan satu gabungan ‘tetap’ supaya ia lebih menyakinkan.

 

Pemimpin utamanya mestilah Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Inilah sebenarnya ‘lambang’ kezaliman BN dan inilah lambang ‘perjuangan’. Anwar sendiri mahukan YB Dato’ Ustaz Fadzil Noor sebagai pemimin atau Dr. Syed Husin Ali tetapi, yakinlah bahawa Anwar adalah ‘lambang’ kepada segala bentuk kezaliman BN selain beliau sebagai penentang penyelewengan dan politik kronisme serta nepotisme.

 

Dr. Mohamad Khir akan menjadi manusia ‘leka’ dengan habuan yang bakal dia dapat. Bekas ‘budak sampah’ ini tidak akan melepaskan peluang untuk menjadi manusia yang kaya raya seperti yang pernah dikecapi Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

 

Secara perlahan-lahan, Exco-exco yang senior akan mensabotaj perjalanan pentadbiran kerajaan negeri kerana tidak mungkin bagi mereka menguatkan politik Dr. Mohamad Khir yang membawa erti ‘proses’ pembaharuan dalam politik Umno, mengenengahkan orang muda dan orang-orang tua perlu diundurkan.

 

habis