Salam,

 

Editor Komentar,

Pohon jasa baik untuk dapat diterbitkan artikel berikut dilaman saudara.

 

Terima kasih di atas kerjasama saudara.

 

 ************

 

 The Black 14: Rentetan Penzahiran Haq dan Batil

 Susunan: Al-Faqiru Ilallah, Muhammad ibnu Abdullah

 

 “Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fatan

(fitnah/penderitaan/penyeksaan/pembunuhan) kepada orang-orang yang beriman

lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka BAGI MEREKA AZAB

JAHANNAM DAN BAGI MEREKA AZAB YANG MEMBAKAR”(Al-Buruj: 10)

 

 “SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU ADALAH MUSUH KAMU!, maka anggaplah ia musuh,

kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya

mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala” (Al-Fatir: 6)

 

 “MAKA APAKAH ORANG YANG DIJADIKAN (SYAITAN) MENGANGGAP BAIK PEKERJAANNYA

YANG BURUK lalu dia meyakini pekerjaan itu baik, (sama dengan orang tidak

ditipu oleh syaitan)?. Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang

dikehendakiNya dan menunjuki sesiapa yang dikehendakiNya; MAKA JANGANLAH KAMU

BINASA KERANA KESEDIHAN TERHADAP MEREKA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI

APA YANG MEREKA PERBUAT” (Al-Fatir: 8)

 

 PERISTIWA 14

 

 14 April yang lalu, seluruh dunia digemparkan dengan berita mengenai Sdr

Anwar Ibrahim, pemimpin yang berimej Islam lagi beriman, dijatuhkan hukuman 6

tahun penjara. Beliau didakwa campurtangan dalam siasatan yang melibatkan

skandal seks, homoseks dan anak luar nikah yang melibatkan dirinya serta

beberapa orang lelaki dan wanita lain.

 

 14 tahun yang lalu, 14 orang penduduk kampung, dengan dipimpin oleh

Al-Ustaz Ibrahim Libya telah menemui syahid di medan Memali. Hujan tembakan

gas pemedih mata dan peluru liar M-16 yang dimuntahkan oleh anggota-anggota

UTK, PPH dan FRU yang setia membabi buta kepada Mahathir Mohamad selaku

Perdana Menteri dan Menteri dalam negeri, pada ketika itu, samasekali tidak

mengenal erti belas ihsan terhadap orang-orang yang beriman di hadapan

mereka.

 

 PERISTIWA 10 MUHARRAM

 

 Perhimpunan Black 14 yang akan diadakan pada hari ini 10 Muharram 1421H akan

turut mengingatkan umat Islam akan peristiwa hitam 14 kurun yang lalu apabila

70 jiwa beriman, yang dipimpin oleh cucunda Rasulullah s.a.w iaitu Saidina

Husain b. Ali r.a. menemui syahid di medan Karbala akibat diserang hendap

oleh 4000 tentera yang setia membabi buta kepada Khalifah Yazid b. Muawiyah.

Hari 10 Muharam atau hari Asyura akan mengingatkan kita kepada kekejaman Bani

Muawiyah dan Panglima tenteranya terhadap kumpulan Pemegang Panji Pembeda

Kebenaran dan Keadilan Islam.

 

 Sebelum daripada itu, Muawiyah b Abi Sufyan, yang dilahirikan serta dididik

dalam kelompok aristokrat dan feudal Metro Mekah telah mengotorkan sejarah

kegemilangan Islam apabila mula berkonfrontasi dengan Khalifah Ali b. Abi

Talib k.w. (karromallahu wajhah). Begitu kontras sekali perwatakan antara

keduanya; Saidina Ali b. Abi Talib k.w berperwatakan sebagai khalifah yang

beriman, berjiwa rakyat, prihatin terhadap setinggan yang tidak bertanah,

zuhud, anti kronisme, anti-nepotisme, fan tidak mementingkan projek mega.

Muawiyah disebaliknya, sibuk dengan pelbagai projek mega seperti pembinaan

istana-istana mewah, meminati pakaian-pakaian cantik, kagum dengan

masjid-masjid yang indah dengan pelbagai hiasan dan ukiran, ghairah dengan

pusat pemerintahan baru yang lebih “sofistikated” dibina menggunakan sumber

wang rakyat dari baitul mal, pembahagian tanah-tanah untuk kepentingan

politik, mengamalkan politik wang dengan membina pengikut-pengikut setia

bukan dengan binaan iman dan taqwa, melantik kroni-kroni sebagai gabenor

diwilayah terokaan baru, menghancurkan musuh politik beliau melalui fitnah

dan peperangan, dan akhirnya memecahkan tradisi perlantikan Khalifah secara

syura, dengan melantik anaknya sendiri, Yazid b. Muawiyah sebagai Khalifah.

 

 Oleh kerana watak pilihannya itulah maka Khalifah Muawiyah b. Abi Sufyan

telah tersingkir namanya dari carta Khulafa Rasyidin (Pemimpin yang Beroleh

Petunjuk Ilahi) atau  Khalifah bertaraf Universe.

 

 SEJARAH KEMANUSIAAN YANG BERULANG

 

 Sejarah pertentangan antara kebenaran dan kebatilan akan sentiasa berulang.

Pelakon-pelakon utama serta, penyokong dan penonton yang baru akan mengambil

alih peranan yang mereka kehendaki sebagaimana manusia diberikan kebebasan

oleh Allah s.w.t memilih jalan hidup mereka. Kini sejarah tersebut berulang,

kerana sebahagian besar manusia telah kembali menjadikan musuh mereka iaitu

syaitan sebagai wali, pelindung dan teman setia. Walhal manusia semenjak Adam

a.s telah diperintahkan oleh Allah supaya hanya mengambilNya sebagai wali:

 

 Allahlah wali (pelindung/pemimpin) kepada orang beriman, Dia mengeluarkan

mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dan orang-orang kafir wali

(pelindung/pemimpin) mereka adalah Thaghut (syaitan/kejahatan), ia

mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya; mereka itulah penghuni

neraka, mereka tinggal didalamnya buat selama-lama…(Al-Baqarah:257)

 

 Watak Muawiyah dan watak Ali mempunyai wali-wali rujukan yang berbeza.

Pertempuran dan krisis baru dijelmakan semula apabila Iblis berjaya

memperalatkan manusia yang sanggup mendengar hasutan dan bisikan kejahatan

sebagaimana Adam buat pertama kalinya dihasut. Dari zaman ke zaman yang

tertentu, manusia yang mengambil Iblis sebagai rujukan dan idola akan

mencetuskan krisis di dalam masyarakat manusia. Manusia lupa bahawa syaitan

adalah musuh bukan sebaliknya. Mereka menjadikan syaitan sebagai teman setia.

 

 Manusia yang bertuhankan syaitan (toghut) dan bertuhankan Allah akan terus

bertempur dari masa kesemasa sehinggalah hari kiamat. Sebelum dari itu, Nabi

Muhammad menghadapi Abu Jahal dan Pemuka Mekah, Nabi Isa dengan Pemuka

Yahudi, Nabi Musa dengan Firaun, dan begitulah seterusnya. Proses

pertembungan antara kebenaran dan kebatilan ini adalah rentetan drama dunia

yang telah digambarkan oleh Al-Quran bermula sejak kejadian Adam a.s.

 

 KISAH PERMUSUHAN IBLIS TERHADAP SAINGANNYA - MANUSIA

 

 Menurut Al-Quran dan juga Injil, Iblis adalah dari golongan Jin yang

ternama, menguasai sebahagian wilayah kerajaan dilangit pada satu ketika

sebelum kejadian Adam a.s.

 

 Sanjungan dan kehebatan yang diterima akhirnya menjadikan Iblis lupa daratan

dan tersingkir dari carta makhluk Allah yang bertaqwa. Hasrat Allah s.w.t.

untuk mencipta makhluk baru sebagai Khalifah yang tercipta dari bahan asas

tanah mendapat tentangan keras dari Iblis dan bangkangan awal dari kelompok

malaikat (al-Baqarah:30-33). Iblis yang dijadikan dari Api, khuatir bahawa

kekuasaan, dan sanjungan yang dinikmati selama ini akan terjejas dengan

pendatang baru, sedangkan malaikat pula khuatir berlaku pertumpahan darah

sesama manusia kerana ciri-ciri kecenderungan naluri makhluk ciptaan terbaru

ini, telah dapat diduga oleh kelompok malaikat yang sentiasa mensucikan Allah

Azzawajalla.

 

 Kebencian yang meluap ini sememangnya telah diketahui oleh Allah Maha

Pencipta. Sebagai membuktikan kekuasaanNya, Allah s.w.t menyempurnakan

penciptaan Adam sebagai manusia pertama. Setelah itu, di dalam satu majlis

gilang-gemilang bagi menobatkan Adam sebagai Khalifah yang akan diberikan

satu teritori kekuasaan baru iaitu planet bumi, Allah s.w.t. memerintahkan

agar semua makhluk dilangit tunduk dan sujud memberi penghormatan kepada Adam

(Al-Baqarah:34). Iblis dan gabenor-gabenor yang setia kepadanya, sejak mula

lagi tidak berpuashati dengan cara Allah mengendalikan pemerintahanNya,

menunjukkan belang dengan mempamerkan keangkuhannya di hadapan malaikat dan

makhluk Allah yang lain secara terbuka. Perintah Allah agar semua yang ada di

majlis tersebut untuk tunduk memberi penghormatan kepada Adam tidak

diendahkan oleh Iblis bahkan dengan sinisnya menjawab “Cis, Aku lebih mulia

dari Adam kerana aku dijadikan dari Api sedangkan Adam hanya dari tanah yang

hina.”…(Taha:116) Begitulah Allah menunjukkan kekuasaannya dengan membogelkan

sikap munafiq Iblis yang tidak diketahui oleh sebilangan besar makhluk lain

di langit, didalam majlis bersejarah tersebut.

 

 Secara hikmahnya peristiwa di majlis tersebut dan hakikat penciptaan Adam

adalah untuk menzahirkan antara ketulinan dan kepura-puraan (munafiq), antara

haq dan batil, dan memisahkan antara yang taat dan yang kufur, yang mana

sebelum daripada itu hanyalah dalam Ilmu Allah, yang tidak dapat diketahui

dan disaksikan secara “live” oleh mahluk-makhluk di langit yang lainnya.

 

 Walaubagaimanapun Allah s.w.t dengan sifat-sifat Kesempurnaanya

(sebahagiannya “demokrasi”) terus memberikan peluang kepada Iblis dan tentera

pemberontaknya (bughah) untuk menguasai sekelumit kecil wilayah dilangit,

demi menzahirkan KebijaksanaanNya yang tidak difahami oleh sebilangan besar

makhluk. Pemberian kekuasaan kepada kelompok pemberontak ini sama sekali

tidak menjejaskan Kemuliaan dan Kekayaan Allah yang menguasai arash yang

tertinggi, kerana apa yang diperolehi oleh golongan ini tidaklah mempunyai

sebarang nilai disisiNya.

 

 Permusuhan dengan Adam tidak berhenti di majlis tersebut. Dendam kesumat dan

kedengkian tersebut sentiasa membakar di segenap sanubari Iblis. Semenjak itu

Iblis sentiasa mengintai-ngintai peluang untuk “menjatuhkan” saingannya

dengan permainan “politik” kotor.

 

 Akhirnya disatu kesempatan yang berharga, Iblis dengan tipu helahnya berjaya

melepasi kawalan keselamatan dan dapat menghampiri ciptaan baru Allah iaitu

Adam dan Hawa di sebuah taman dilangit. Iblis berjaya memujuk mereka agar

memetik dan memakan buah khuldi yang terlarang dengan menjanjikan sebelumnya

kepada Adam dengan janji-janji palsu. Adam terpedaya dengan janji Iblis dan

melupakan janji-janji Allah (al-Baqarah:35). Menurut Iblis, sekiranya Adam

makan buah yang dilarang itu, maka beliau akan menjadi kebal (immortal) iaitu

tidak dapat disentuh oleh kematian yang begitu ditakuti oleh Adam

(Taha:120).”Kamu makanlah buah ini, kamu tidak akan mati lagi….itulah

sebabnya Allah tak bagi kamu memakannya” pujuk Iblis dengan

bersungguh-sungguh”.

 

 Akibat dari peristiwa (Taha:121) tersebut Allah memerintahkan agar Iblis,

kumpulan pemberontak syaitan, Adam dan isterinya di usir dari wilayah

kerajaan langit ke planet buangan yang sangat terpencil iaitu planet bumi

(Al-Baqarah:36).

 

 Apabila tersungkur ke bumi asal kejadiannya, barulah Adam insaf, sedar dan

menyesal (Al-Baqarah: 37-38). Rupa-rupanya Iblis adalah pembohong@penipu

besar. Sejak itu beliau sentiasa berasa khuatir, sedih dan terus menangis

memohon keampunan dari penciptanya akibat terpedaya oleh janji-janji Iblis

dan melupakan janji-janji Allah (Taha:117-119).  Taubat Adam akhirnya

diterima oleh Allah namun dengan amaran yang sangat keras. ”KALI INI SESIAPA

SAHAJA YANG ENGKAR PERINTAH AKU, DIA BUKAN SAHAJA AKU SINGKIR DARI BUMI,

BAHKAN AKAN AKU CAMPAK KEDALAM API NERAKA BUAT SELAMANYA !!! (Al-Baqarah: 39,

Taha:122-124)

 

 Iblis dengan iltizam yang tinggi untuk menyesatkan manusia, meneruskan

usahanya kepada jenerasi kedua selepas Adam. Anak Adam yang bernama Qabil

menjadi mangsa Iblis yang seterusnya. Qabil dihasut Iblis untuk membunuh

Habil, saudara kandungnya sendiri kerana tidak berpuashati dengan peraturan

Tuhan tentang soal beristeri dan penerimaan korban (Al-Maidah:27-31).

 

 Iblis selaku ketua dan gerombolan pengikutnya yang digelar Allah sebagai

syaitan terus bermaharajalela dengan menguasai sebahagian besar manusia

selepas itu. Kemurkaan Allah dizahirkan apabila dizaman Nabi Noh, seluruh

bumi telah ditenggelamkan dalam banjir besar. Sedikit sahaja kelompok makhluk

Allah yang selamat, iaitu orang beriman dan haiwan-haiwan berpasangan yang

menaiki bahtera Nabi Noh. Antara yang tenggelam termasuklah anak dan

isterinya yang engkar .

 

 PENGUASAAN IBLIS TERHADAP KEGELAPAN DAN KESESATAN

 

 Kedengkian dan permusuhan Iblis terhadap saingannya, iaitu manusia semenjak

peristiwa penghormatan Adam dalam majlis keraian yang diadakan oleh Allah

dilangit masih tidak kunjung padam.

 

 Menjelang alaf baru, di sebuah lokasi planet buangan terpencil ini iaitu

Malaysia, Iblis terus mengenalpasti agen-agen baru yang bersedia berkhidmat

kepada toghut dan kesesatan. Kelompok pemuka atau al-mala’ adalah “target

group” (kumpulan sasaran) yang paling berdaya saing untuk direkrut ke dalam

gerombolan mereka. Kelompok al-mala’ mempunyai kelebihan tersendiri kerana

secara semulajadi, mereka telah mempunyai kumpulan pengikut yang

kebanyakannya setia membabi buta.

 

 Peristiwa fitnah zina dan homoseks bagi menjatuhkan Datuk Seri Anwar adalah

pengulangan pertempuran antara haq dan batil, antara iman dan kufur, dan

antara lakonan semula watak-watak kepimpinan Ali dan Muawiyah.

 

 Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kontras perwatakan adalah terlalu

ketara antara keduanya; Saidina Ali b. Abi Talib k.w berimej sebagai orang

yang beriman, menantu rasulullah, berjiwa rakyat, prihatin terhadap setinggan

yang tidak bertanah, zuhud, anti kronisme, nepotisme dan tidak mementingkan

projek mega sedangkan Muawiyah disebaliknya, anak aristokrat metro mekah,

meminati keindahan zahiriah dengan pelbagai projek mega seperti pembinaan

istana mewah, pakaian berjanama, masjid-masjid indah dengan pelbagai hiasan

dan ukiran, pusat pemerintahan baru yang lebih “sofistikated”, membahagikan

tanah-tanah rakyat untuk kepentingan politik, mengamalkan politik wang dengan

membina pengikut-pengikut setia bukan dengan binaan iman dan taqwa, melantik

kroni-kroni sebagai Gabenor diwilayah terokaan baru, menghancurkan musuh

politik beliau melalui fitnah dan peperangan, dan memecahkan tradisi

perlantikan Khalifah.

 

 PEMIMPIN BERTARAF UNIVERSE VS PEMIMPIN BERTARAF DUNIA

 

 Maka selamanya watak seperti Muawiyah tidak akan dapat disenaraikan didalam

kumpulan Pemimpin yang beroleh petunjuk Ilahi (Khulafa Rasyidin) atau

pemimpin bertaraf universe. Bukankah juga Mahathir sudah tersingkir atas

sebab yang sama ? Pemimpin bertaraf dunia tidak sama dengan pemimpin bertaraf

universe. Pemimpin bertaraf dunia hanya perlu sekadar sanjungan diperingkat

duniawi yang rendah. Pemimpin bertaraf universe pula tidak mendambakan

sanjungan duniawi semata bahkan yang pentingnya mereka beroleh sanjungan dari

penduduk langit dan pemilik universe itu sendiri iaitu Allah s.w.t yang Maha

Tinggi lagi Maha Terpuji. Secara spiritualnya, pemimpin bertaraf universe

mendapat watikah perlantikan  jawatan (appointment) dari Allah s.w.t.

 

 Sekadar sanjungan sebagai pemimpin bertaraf dunia (apatah lagi di gelar

Mahazalim), tidak akan sewajarnya menjadikan ianya selesa dan sentiasa tenang

bahagia dengan sanjungan tersebut. Bagaimana pula “rating” nya disisi Allah ?

Ini bukanlah rating Solomon Smith Barney, Standard & Poor, atau pengiktirafan

Morgan Stanley seperti yang diperlukan oleh pemimpin yang sekadar bertaraf

dunia !

 

 Tamadun yang mahu dibina bukanlah tamadun materialisme dan zahiriah sempit

seperti yang dikehendaki oleh Iblis melalui kehidupan duniawi yang pernah

dijanji palsukan kepada Adam dan Hawa seketika dahulu. Tamadun yang dibina

ialah tamaddun yang bertaraf universe, bersifat bumi dan langit, bersifat

fizikal dan spiritual, menjangkau dunia sehingga akhirat.

 

 ANDA PENGIKUT BERTARAF DUNIA ATAU  PENGIKUT BERTARAF UNIVERSE ?

 

 Pengikut bertaraf dunia hanyalah pengikut setia membabi buta seperti tentera

gerombolan pemberontak yang setia kepada iblis sewaktu peristiwa penyingkiran

mereka dari wilayah langit satu ketika dahulu. Mereka gagal membedakan antara

kebenaran dan kebatilan, ketinggian dan kerendahan, kemuliaan dan kehinaan,

iman dan kufur. Mereka tidak kenal antara berlian dan kaca, antara kehebatan

Allah azzawajalla dan ketololan Iblis laknatullah

 

 Maka diatas kedunguan dan kejahilan tersebut, maka pengikut setia membabi

buta disesatkan dari jalan kebenaran dan keselamatan. Diatas keserakahan

mereka dengan duniawi yang setitis nipis, mereka menggadaikan akhirat yang

selaut luas mata memandang.

 

 Maka jadilah mereka alat-alat yang diperkuda semahu-mahunya tanpa harga

diri. Jadilah mereka anjing-anjing garang yang sanggup mati mempertahankan

tuan mereka yang hanya memberi mereka makan semangkuk nasi basi lebihan

semalam. Jadilah mereka keldai-keldai setia pemikul beban tuan mereka

sentiasa mengherdik dan memaki kebodohan dan kelembapannya bergerak membawa

beban.

 

 Maka tanyalah diri anda, apakah anda mahu menjadi pengikut bertaraf dunia

yang setia membabi buta kepada pemimpin bertaraf dunia atau menjadi pengikut

bertaraf universe yang setia dengan prinsip kepada pemimpin bertaraf

universe….?

 

 Kepada reformis yang berjuang di Masjid Negara hari ini, murnikanlah

perjuangan, sucikanlah niat dan pertingkatkan amal agar anda layak digelar

pengikut bertaraf universe. !