Oleh Pena Suasa

 

Berita Buat Menteri Dalam Negeri

 

MENTERI Dalam Negeri (MDN), Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tentunya terbaca berita yang melaporkan sekitar 300 penyokong keADILan berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Negara, selepas solat Jumaat, 11 Ogos lalu.

Perhimpunan yang tidak dikawal anggota polis itu berjalan dengan aman dan mereka bersurai selepas 30 minit berhimpun.

Ketua Polis Negara, Ketua Polis Kuala Lumpur dan para pemimpin Umno semuanya tentu terbaca berita itu kerana boleh dikatakan semua media massa pro kerjaaan melaporkan berita itu.

Lebih penting, orang-orang yang mengecam kenyataan Suruhajaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) tempohari termasuk Dato’ Seri Mohd Tajol Rosli, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein dan Naibnya, Dato’ Abd Aziz Sheikh Fadzir tentunya faham laporan itu dan percaya ia bukan laporan bohong seperti yang pernah media massa laporkan.

Jika mereka faham, sepatutnya mereka tahu bahawa penyokong keADILan atau penyokong reformasi bukan kaki samseng jalanan, bukan kaki buat huru-hara dan bukan pencetus perhimpunan ganas seperti yang mereka tuduh selama ini.

Sekalung tahniah harus diberikan kepada Ketua Pemuda keADILan, Mohd Ezam Mohd Nor dan bekas tahanan ISA, Malek Hussein yang berjaya mengawal perhimpunan itu hingga tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Terbukti sudah, jika tiada anggota polis, tiada sebarang kejadian buruk berlaku. Tetapi bila ada anggota polis, merekalah yang memulakan sesuatu dan kemudiannya menuduh penyokong keADILan bertindak ganas terhadap polis.

SUHAKAM sepatutnya menjadikan ini alasan untuk berhujah dengan Pergerakan Pemuda Umno yang mahu mengunjungi mereka.

Tapi, budak-budak Umno yang diketuai Hishammuddin ini jenis bebal. Mereka akan bercakap senada dengan Perdana Menteri yang sudah kehilangan cengkaman. Mereka bercakap untuk menyenangkan hati Dr. Mahathir dan dalam masa yang sama, mereka akan membuat fitnah terhadap pembangkang, khususnya keADILan dan pendokong reformasi.

Mulai dari hari ini MDN sepatutnya membuka minda. Usah turut sangat kata-kata Dr. Mahathir kerana dia memang tidak akan senang dengan sebarang aktiviti yang menampakkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih ada penyokong.

Begitu juga Tan Sri Norian Mai. Sebagai IGP, beliau sudah bertindak cukup baik, matang dan cemerlang ketika menanggani isu Sauk. Walaupun Tentera cuba mendabik dada mengatakan mereka ‘hero’ tetapi semua orang tahu, polislah di belakang semua operasi tersebut.

Dalam soal perhimpunan aman, berilah kebenaran kerana tiada siapa yang nak buat kecoh kecuali diganggu dengan pukulan cotar dan sebagainya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, usah tunduk dengan ugutan Dr. Mahathir dan seorang dua pemimpin Umno. Tiada siapa yang akan membakar bangunan dan sebagainya, kecuali anggota polis yang menyamar sebagai demonstrator memulakannya.

Kalau ada seorang Inspektor terjatuh kemudiannya mengadu kena pukul dengan penyokong reformasi, itu lakonan dengan skrip lama. Betul, mereka boleh mendakwa seorang dua penyokong reformasi tetapi Allah tahu kerja-kerja buruk itu.

Cukuplah, imej polis sudah terlalu buruk sekarang. Rasuah paling tinggi. Kalau buat jamuan di Balai-balai Polis, tauke-tauke besar menjadi penaja. Ini semua orang sudah tahu. Tapi, dalam soal hak rakyat, usahlah disekat dengan alasan-alasan bodoh kerana negara ini bukan negara polis.

Berjumpalah dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang, adakan perbincangan dengan mereka dan buktikanlah Mesra Rakyat benar-benar menjadi slogan Pasukan Polis DiRaja Malaysia sekarang.(PS)