Oleh Pena Suasa

 

Pendirian SUHAKAM Perlu Disokong

 

INILAH politik Malaysia. Akhbar kebangsaan memulakan langkah membidas Tan Sri Musa Hitam yang kini menyandang jawatan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Bidasan itu kerana Musa cuba memberi pandangan dan pendirian SUHAKAM mengenai hak menyuarakan sesuatu isu secara aman.

Disebabkan Musa bukan lagi Timbalan Presiden Umno, bukan lagi Timbalan Perdana Menteri dan bukan lagi Menteri Dalam Negeri, maka apa sahaja yang sisuarakannya, akan dibidas.

Orang-orang yang membidasnya ialah Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang dapat kerusi itu secara percuma, Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda Umno yang pernah disiasat kerana dikatakan terlibat dengan politik wang, Dato’ Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Hari ini, kalau Musa masih berkuasa, masih duduk sebagai Timbalan Perdana Menteri, inilah orang-orangnya yang akan mengatakan suara Musa itu suara demokratik dan suara seorang pemimpin berjiwa rakyat.

Tetapi, sudah menjadi trend politik Umno, sesiapa sahaja yang tidak lagi berkuasa, kalau bercakap perlulah dibidas kerana itu boleh menyedapkan hati Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Musa tidak perlu gentar dan Musa tidak perlu bimbang. Bersama-samanya ialah rakyat yang faham erti demokrasi. Biarlah polis menangkap seorang dua, kerana itu kerja polis. Polis Malaysia tidak akan nampak bekerja jika tidak menahan para pendokong dan penyokong kumpulan reformasi.

Mereka tidak berani menahan Dr. Mahathir kerana Dr. Mahathir kebal. Mereka tidak berani menyiasat aduan Dato’ Shafiee Yahya kerana Dato’ Shafie sudah tidak menjadi Ketua Pengarah BPR. Mereka tida berani menyiasat Rafidah Aziz, kerana Rafidah Menteri yang disayangi oleh Dr. Mahathir.

Jadi, kerja mereka kini hanya tertumpu kepada memukul Lokman Nor Adam dan menangkap Gobalakrishnan. Kerja-kerja ini akan menyebabkan Dr. Mahathir seronok dan Abdullah ‘Habibie’ Badawi boleh merasa selesa untuk menjadi Perdana Menteri.

Kita sebagai rakyat Malaysia mestilah berdiri bersama-sama kebenaran. Jika Musa bercakap kebenaran tentang hak asasi manusia, kita kenalah bersama-samanya. Pertahankan Musa kerana kenyataannya itu benar. Tajol Rosli, Hishammuddin dan Abd Aziz tidak nampak lagi kebenaran kerana mereka kini berada di dalam keselesaan yang amat sangat.

Usah peduli dengan akhbar pro pemerintah. Mereka adalah perkakas pihak berkuasa. Dalam jiwa mereka tiada langsung kebenaran. Dalam jiwa mereka, mahu menjadi hamba kepada pemerintah yang zalim.

Utusan Malaysia atau Utusan Meloya dan Berita Harian atau Berita Hairan sebenarnya memulakan sesuatu yang rosak dalam kehidupan manusia. Mereka yang memulakan tohmahan demi tohmahan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan parti-parti pembangkang, kini mahu terus tersesat dengan perbuatan mereka. Mereka seronok menjadi pengampu, dan dalam masa yang sama dapat memijak-mijak kebenaran.

Suatu hari nanti, percayalah! Kebenaran akan mengatasi kebatilan. Dato’ Seri Anwar akan dapat pembelaan sewajarnya. Parti-parti pembangkang akan dapat menguasai Malaysia. Bekerjalah dengan penuh kesabaran dan ketekunan. Ujian-ujian kecil ini perlu ditempuh kerana, masih jauh sebenarnya hakikat kebenaran.

Tan Sri Musa Hitam bukan orang baru dalam pemerintahan negara. Hari ini, beliau boleh merasakan betapa dungunya budak-budak Umno seperti Tajol, Hishammuddin dan Abd Aziz bila bercakap soal demontrasi. Mingguan Malaysia atau Mingguan Meloya kononnya menyindir Musa yang dituduh mahu mencari kesempatan untuk menjadi ‘hero’.

Budak-budak di Mingguan Meloya itu sebenarnya bercita-cita tinggi. Mereka mahu mencorakkan pemikiran rakyat Malaysia. Mereka yang berketuakan Zainuddin Maidin dan penasihat ‘agama’ Astora Jabat ingin sangat menjadi ‘penentu arah berfikir’ rakyat Malaysia.

Bekas Timbalan Menteri yang kini menjadi kolumnis Mingguan Meloya, Tan Sri Abdullah Ahmad juga meletakkan dirinya jauh di kaki lima politik Malaysia. Dia cuba menjadi pengampu kepada Dr. Mahathir dan “Habibie” Abdullah Badawi. Tulisan-tulisannya terlalu rendah nilai jika dibandingkan dengan latar belakangnya sebagai seorang bekas tahanan ISA yang terlibat dengan komunis.

Terlalu kurang Musa Hitam di Malaysia. Terlalu kurang manusia bernama Anwar Ibrahim di Malaysia. Terlalu kurang manusia yang berani seperti Anwar, seperti Musa.  Mereka sebenarnya berjaya memberitahu rakyat Malaysia, hak asasi manusia sudah terhakis akibat kezaliman dan kedurjanaan polis dengan perintah dan arahan Dr. Mahathir serta Habibie Abdullah Badawi.

Rakyat Malaysia kena tabik kepada rakyat Indonesia kerana mereka, walaupun dalam keadaan perit dapat mendakwa Suharto yang sudah diakui ‘tidak siuman’.

Memang perjuangan itu memerlukan pengorbanan. Ia terlalu mahal tetapi kerosakan yang dibuat oleh Suharto perlu dihentikan. Begitu juga di Malaysia, kezaliman dan kedurjanaan perlu dihentikan. Dr. Mahathir dan Abdullah Habibie Badawi perlu dinyahkan. Mereka akan meneruskan kerosakan yang ada kerana mereka merasakan rakyat Malaysia tidak kisah dengan kezaliman.

Apa yang Abdullah Habibie Badawi lakukan sekarang, dengan mengarahkan polis bertindak kasar dan kurang ajar kepada rakyat sebenarnya merosakkan lagi imej Dr. Mahathir. Dan lebih teruk kerosakan yang dilakukan, lebih cepat Abdullah akan dapat menjatuhkan Dr. Mahathir. Bukankah ini yang Abdullah cita-citakan?

 

6hb. Ogos 2000