Oleh Pena Suasa

 

Hati-hati Menulis Berita

 

JIKA sesiapa terbaca satu berita di Laman Reformasi, sekitar pengumuman penangguhan hukuman kes (fitnah) liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tentunya terpandang satu berita bertajuk Hakim Ariffin Jaka Pro Reformasi? Tulisan wartawan/Peguam.

Tulisan itu, 100 peratus silap dan mengelirukan. Seperti yang pernah saya ingatkan sebelum ini, para penulis dan pengendali laman (web) supaya berhati-hati memilih bahan untuk siaran.

Tulisan saya itu dikecam diperli dan ada yang menulis kononnya saya hanya akan percaya jika “kepala saya dihentak dengan cotar polis.”

Bila saya menegur, saya bukan menidakkan sesiapa. Kita, para pendokong dan penyokong reformasi/Barisan Alternatif (BA) tidak mempunyai sumber berita kecuali laman-laman ini, yang cukup banyak membantu memberikan bahan-bahan terkini.

Malangnya, ada penulis yang mengambil kesempatan untuk menunjuk pandai, mempunyai kepentingan sendiri dan menulis ikut sedat hati tanpa memikirkan perjuangan yang sama-sama kita dokong.

Amat malanglah kalau sesiapa percaya mengenai berita tulisan wartawan/peguam itu kerana apa yang terjadi kini membuktikan Hakim Ariffin Jaka bukan sahaja anti reformasi, malahan tidak suka Dato’ Seri Anwar Ibrahim memperdengarkan ayat-ayat Al-Quran di depannya.

Dia mengingatkan Dato’ Seri Anwar bahawa; “Ini mahkamah civil. Tidak sesuai (membaca ayat-ayat Al-Quran) di sini.”

Inikah hakim yang menganut agama Islam? Ayat-ayat Al-Quran cukup “lazat” didengar dan dibaca. Tidak kira di mana, lebih-lebih lagi di mahkamah.

Hakim Ariffin tidak akan menongkat langit. Dia akan bersara dan dia akan mati juga. Dia boleh sahaja ketawa sekarang selepas menghukum Dato’ Seri Anwar berdasarkan pengakuan seorang supir (pemandu) yang mengaku berzina, Azizan Abu Bakar.

Seperti kata Dato’ Seri Anwar, Hakim Ariffin menyudahkan dengan baik skrip susunan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Lenakah tidur Hakim Ariffin sekarang? Lenakah tidur Dato’ Seri Dr. Mahathir sekarang? Lenakah tidur Dato’ Aziz Shamsuddin sekarang? Dan lenakah tidur Tengku Adnan Mansor sekarang?

Ya!… mereka punya banyak wang, mereka boleh beli katil dan tilam tetapi ingat! Mereka tidak akan dapat membeli tidur.

Sekali lagi saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan kawan-kawan para pendokong dan penyokong reformasi…berhati-hatilah.

Kita menulis bukan kerana wang dan bukan kerana upah. Kita menulis kerana ingin menyumbang ke arah menegakkan keadilan di bumi Malaysia yang tercinta ini. Kita tidak akan dapat menyuarakan pendapat kita di mana-mana media, kecuali laman-laman web yang memberikan kita peluang. Usahlah kita rosakkan laman-laman ini kerana kecuaian dan sikap ambil mudah kita.

Tulislah apa sahaja, walaupun ia kecil dan sedikit tetapi berasas. Jangan tulis kalau kita tidak pasti. Beri pendapat boleh, tetapi biar ada asasnya. Jangan kita tulis hanya kerana kita fikir, apa juga yang kita tulis akan tersiar.

Ingat, laman-laman ini sentiasa dikunjungi. Bukan para pendokong dan penyokong reformasi sahaja, malahan para wartawan dari akhbar pro pemerintah. Mereka akan mencari peluang membelasah laman-laman ini jika ada kesilapan. Ini merupakan “peluru” buat mereka dan akhirnya peluru itu digunakan untuk menembak kita.

Dalam kes Sauk, Timbalan Perdana Menteri sendiri melenting kerana laporan laman pro reformasi “menyifatkan” tragedi itu sebagai sandiwara. Ini satu kejayaan buat kita semua, kerana orang yang kemaruk nak jadi Perdana Menteri terpaksa menjawab tuduhan. Tapi, kalau kita tidak jaga mutu laporan/pemberitaannya, ia akan menjadi tidak bernilai.(PS)