Hal Pelik Dalam Umno

 

SAYA percaya, semua peminat Barisan Alternatif (BA) pernah melihat jika tidak membaca pun sebuah majalah bertajuk Bila Lagi Mahathir Nak Sedar.

Majalah ini dijual secara terbuka dan khabarnya setiap perwakilan Umno dihantar melalui pos secara percuma.

Cara tindakannya ada persamaan dengan pengedaran buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM yang ditaja cetak oleh Tengku Adnan Tengku Mansor.

Majalah itu menggunakan nama penulisnya Zaharin Mohd Yassin. Tetapi ada juga dakwaan mengatakan bukan dia penulisnya, tetapi namanya sahaja digunakan oleh pihak-pihak yang dipersetujuinya. Dia dan penulis itu mendapat bayaran yang cukup lumayan.

Jika sesiapa membaca tulisan di majalah itu, memang teruk juga Mahathir dibelasahnya. Seorang lagi yang turut di belasah ialah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah disifatkan sebagai seorang pemimpin Umno yang menggunakan Islam untuk populariti diri sendiri. Dia mengaitkan Abdullah kerana Abdullah berkelulusan Pengajian Islam Universiti Malaya.

Tetapi, selepas beberapa bulan dia menerbitkan majalah itu, orang yang bernama Zaharin itu kini diberikan jawatan penting dalam Umno Wilayah Persekutuan. Pengerusi Umno WP ialah Tengku Adnan.

Pejabatnya di Tingkat 38 Bangunan Umno dan kadang-kadang di Bangunan Umno WP di Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Berhati-hati dengan orang ini kerana mustahil jika benar dia membelasah Mahathir kemudiannya dia diberikan jawatan dalam Umno. Dia menjadi orang penting dan khabarnya merancang untuk menjadi pemimpin Umno Bahagian Bandar Tun Razak.

Apakah Umno gunakan dia untuk rapat dengan Ahmad Lutfi Othman (yang pernah mewawancara dia) di majalah terbitan Ahmad Lutfi?. Mungkin dia mencari maklumat dari Saudara Ahmad Lutfi. Dia juga cukup rapat dengan Haji Subky Abd Latif.

Tolong betulkan tulisan saya ini jika dakwaan saya tidak benar. Hal pelik ini berlaku dalam Umno dan jangan sampai para penyokong BA terperangkap dengan lakonan ‘budak’ ini.

 

Pena Suasa