Pedas-Pedas Cili Api 125
(20hb Julai 2000)

Politik Benci, Ugut, Dendam dan Fitnah Dr M

Malam tadi Cili Api memaksakan diri untuk mengikuti rancangan wawancara khas
  RTM1 dengan  PM Dr M @ Cek Det mengenai Peristiwa Sauk dan gerakan
Al-Maunah.
Cili Api hendak tahu kalau-kalau ada perkara baru yang hendak dicakapkannya.

Cili Api rasa kecewa. Cek Det mengulangi dengan nada dan irama yang sama
lagu lama yang sudah lebih dari basi. Nampaknya kita boleh menduga apa yang
akan terkandung dalam kertas putih mengenai peristiwa dan gerakan tersebut,
kalaulah kertas putih itu diterbitkan nanti. Seorang ahli akademik dan dua
orang wartawan, yang menemuramah Cek Det, sama mengecewakan, kerana
soalan-soalan mereka tidak kritikal atau mencabar.

Pertama sekali, Cek Det cuba menafikan tuduhan kononnya apa yang berlaku
ialah satu sandiwara. Cili Api tak tahulah sama ada ia sandiwara atau tidak.
Cili Api juga tidak tahu jikalau ada sesiapa yang menuduh kerajaan atau UMNO
di sebalik sandiwara ini, kalau benarlah ia sebuah sandiwara. Yang Cili Api
nampak jelas ialah sekarang ini Cek Det berusaha dengan sungguh-sungguh
benar untuk membabitkan parti-parti pembangkang dengan peristiwa dan gerakan
ini.

Keduanya, Cek Det berpendapat gerakan merampas senjata oleh anggota-anggota
Al-Maunah adalah akibat daripada politik benci. Seperti yang boleh diduga,
Cek Det menyalahkan hanya parti pembangkang yang kononnya menjalankan
politik cara ini. Adakah Cek Det dan parti-parti pemerintah bersih sama
sekali daripada politik benci? Siapakah yang menggunakan segala media hampir
24 jam sehari dan 7 hari seminggu, untuk menimbulkan kebencian terhadap
parti-parti alternatif?

Bukan saja politik benci, bahkan politik ugut, politik ancam  dan politik
fitnah sering benar digunakan, terutama sekali oleh Cek Det,  dituruti oleh
biang-biang keladinya. Inilah juga yang telah dilakukan oleh Cek Det
sepanjang wawancaranya malam tadi. Dollah Badwi pula  dilaporkan oleh akhbar
hari ini sebagai mengancam akan menggunakan ISA. Sebelum itu Mek Fidah
memfitnah parti politik tertentu di belakang gerakan Al-Maunah itu.

Ketiga, Cek Det mendakwa politik benci, yang kononnya dilakukan oleh pihak
pembangkang, bermula daripada tuduhan Kerajaan BN bukan Islam atau tidak
menjalankan dasar-dasar Islam. Cili Api hendak tanya sedikit: Adakah ini
tidak betul?  Adakah Cek Det menganggap kerajaan yang dipimpinnya itu
kerajaan Islam? Adakah UMNO, MCA, MIC dan sebagainya bersetuju bahawa
kerajaan yang mereka sertai itu kerajaan Islam atau yang menjalankan dasar
Islam?

Kalau ada orang yang meragui  Cek Det  sebagai orang Islam yang baik atau
beliau  selalu mempersendakan Islam serta orang Islam, itu lainlah sedikit.
Sebenarnya, Cek Det selalu benar cuba hendak menepis atau mengurangkan kesan
kritikan terhadap beliau sendiri dengan membabitkan seluruh kerajaan ataupun
seluruh parti yang dipimpinnya. Berhentilah main songlap Cek Det. Semua
orang mengetahui muslihat politik yang dijalankan oleh Cek Det. Otaknya
penuh dengan putar belit, sama juga seperti lidahnya bercabang.

Akhir sekali, Cili Api nampak bahawa segala muslihat dan putar belit Cek
Det, terutama selepas Peristiwa Sauk dan gerakan Al-Maunah ini, mempunyai
satu matlamat. Iaitu, untuk menguatkan kedudukan BN dan melemahkan
parti-parti BA. Beliau nampaknya sedang menimbulkan suasana untuk bertindak
terhadap sesetengah parti alternatif. Cek Det takut benar dengan nasib
beliau sendiri sebelum atau dalam pilihanraya akan datang.

Cili Api tahu benar bahawa Cek Det ketagih sangat hendak bertindak
mengharamkan penggunaan nama Islam oleh mana-mana parti politik. Satu lagi,
Cek Det dan Dollah Badwi kepingin sangat hendak menggunakan ISA terhadap
sesetengah pimpinan BA yang sangat-sangat mereka benci. Cili Api ingin
mengingatkan Cek Det, jikalau beliau berbuat demikian, beliau akan membuat
kesilapan politik yang besar. Jangan sangka selepas itu,  penentangan
terhadapnya  akan berkurangan.

Cili Api