Oleh Ummu Natasya

ummu_natasya@hotmail.com

 

Pilih Orang Muda Jadi Wakil Rakyat Lunas

 

Assalamualaikum

Salam sejahtera

para pengundi Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Lunas.

 

INI adalah satu ingatan buat saudara semua. Ketika membuat pilihan pada 29 November 2000 ini, rujuklah beberapa pesanan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika mengumumkan perlantikan Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo.

Kata Perdana Menteri (yang kebetulan orang Kedah), negara memerlukan orang muda bagi mendapatkan idea baru. Maknanya, dalam zaman ini, orang-orang muda perlu diberikan tempat kerana mereka nyata mempunyai idea baru dan mampu menghadapi cabaran abad ini.

Sebaik sahaja Majlis Presiden BA memutuskan Saudara Saifuddin Nasution Ismail sebagai calon keADILan di DUN Lunas, bermakna BA tahu peri mustahaknya orang-orang muda diketengahkan dalam arena politik negara ini.

Malangnya, Presiden MIC, Dato’ Seri S. Samy Vellu tidak peduli apa yang disarankan Perdana Menteri iaitu memberi peluang kepada orang muda. Itulah sebabnya Samy Vellu memilih S. Anthonysamy, 59 tahun.

S. Anthonysamy bukan anak tempatan dan pernah dipecat dari MIC. Maknanya MIC sendiri ketandusan barisan pelapis dan inilah peluang terbaik pengundi semua membuat pilihan dengan mengenepikan calon MIC yang mewakili BN.

Satu perkara lagi, kalau boleh semua pengundi tidak membaca akhbar harian dan hadirilah majlis-majlis ceramah BA yang dapat memberi saudara pelbagai maklumat terbaru mengenai perkembangan politik tanahair.

Satu hal yang tidak boleh dilupakan para pengundi semua ialah gejala rasuah yang semakin membarah dalam kerajaan.

Politik wang dalam pemilihan Umno juga menjadi-jadi. Rombongan-rombongan umrah semakin banyak dan ini membuktikan amaran Dr. Mahathir supaya “rasuah diperangi” tidak dipedulikan langsung.

Seperti kata Presiden keADILan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Dr. Mahathir tidak perlu menangis setiap kali bercakap soal rasuah sebaliknya bertindak dengan mendahului sikapnya sendiri tidak terlibat dengan rasuah.

Kezaliman Dr. Mahathir semakin menjadi-jadi sekarang dengan menggunakan khidmat polis bagi mengekang kebebasan bersuara.

Perhimpunan aman dicemari dengan gas pemedih mata dan ceramah-ceramah parti pembangkang di merata tempat sekarang ini sentiasa dikepung pihak polis.

Anggota polis perlu ingat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah “pejuang nasib” mereka. Rumah (barrack) tiga bilik yang dihuni oleh anggota polis pangkat rendah sekarang adalah jasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Rumah tiga bilik dengan keluasan yang cukup selesa tidak terbina walaupun Dr. Mahathir sudah menjadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri lebih 10 tahun.

Ingat para pengundi sekelian. Dalam pilihan raya umum yang lalu anda memilih MP Padang Serai dari MCA. Saudari Bee Kau tidak bersuara langsung di Parlimen dan inilah peluang terbaik saudara semua menebus kesilapan dengan memberikan kemenangan kepada Saudara Saifuddin.

Bayangkan jikalau Saudara Saifuddin dipilih sebagai MP Padang Serai dahulu? Suara saudara-saudara semua akan dibawa ke Parlimen.

Tidak mengapalah. Yang sudah lepas, biarkan. Daam tempoh sehari dua ini, tetapkan pendirian dan berfikirlah dengan tenang. Buat keputusan dengan bijak dan jangan tersilap pilih. Jangan memilih calon yang melambangkan “keangkuhan”.

Samy Vellu seorang Menteri yang angkuh dan “bapa rasuah”. Itulah sebabnya bila BPR menyiasatnya selama tujuh jam, keputusannya dia diisytiharkan sebagai Menteri yang bersih. Percayakah saudara-saudara semua bahawa Samy Vellu bersih? Jika dia bersih, mampukah dia hidup mewah dengan harga kasut berbelas ribu ringgit dan harga kot yang dipakainya lebih dari RM10,000.

Semua orang tahu, Samy Vellu terlalu megah dengan kekayaan dan dia sebenarnya hidup dengan wang rasuah dari kontraktor yang berurusan dengan JKR .

 

SILA CETAK DAN EDARKAN KEPADA PENGUNDI DUN LUNAS