Oleh Ummu Natasya

 

DALAM kabinet Dr. Mahathir Mohamad sekarang, menteri yang paling risau memikirkan kedudukannya ialah Najib Tun Razak, Menteri Pertahanan Malaysia.

Kementerian yang dipimpinnya tidak habis-habis diserang masalah. Kes paling baru, tragedi tanah jerlus di Kem Oran, Perlis.

Tidak sampai setahun Najib ke Kementerian Pertahanan, dia didatangi masalah “undi pos” dalam pilihan raya kecil Teluk Kemang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Dia juga didatangi kisah rompakan senjata di Kem Askar Wataniah di Grik dan khabarnya semua senjata yang dirompak itu tidak dapat diambil kembali. Semua senjata yang didakwa sudah dirampas itu “adalah lakonan” yang Najib dan Ketua Polis Negara tahu, dari mana datangnya.

Bukan sekali senjata askar hilang tetapi disembunyikan. Najib jangan cuba sorok berita ini kerana “keselamatan” negara bukan soal politik Umno dan Barisan Nasional.

Tidak selesai ke rompakan senjata, Singapura pula mengeluarkan kenyataan memperli Malaysia. Senjata canggih yang mereka ada sebenarnya “untuk membantu” Dr. Mahathir dan Najib beli senjata baru untuk Kementerian Pertahanan dan komisen di bahagi sama rata. Tengok nanti, syarikat pembekal senjata yang dipunyai anak-anak Dr. Mahathir dan adik beradik Najib yang akan dapat “projek” beli senjata canggih. Ini pakatan Dr. Mahathir dengan Lee Kuan Yew yang datang ke Malaysia baru-baru ini. Bila Singapura ada senjata canggih, Malaysia juga perlu ada sama. Nak beli, kira berapa komisen.

Khabarnya kunci bilik (amra) senjata semua kem askar juga sedang dirundingkan untuk ditukar semuanya dengan yang lebih canggih. Kertas cadangan khabarnya datang dari syarikat yang dipunyai oleh Shahrir Samad yang menang pilihan raya kecil atas lambang kunci dahulu di Johor Bahru.

Rakyat kena dengar perkembangan ini. Rakyat kena ambil tahu perkembangan ini. Kalau ada kes rompakan senjata, bermakna kunci bilik senjata sudah “ketinggalan zaman” maka mestilah diganti. Kalau hendak ganti, mesti seluruh negara terlibat dan jumlah besar ini mestilah diperuntukan untuk Kementerian Pertahanan kerana “bimbang dirompak lagi.”

Bila Kem Oran, Perlis ada masalah bangunan terbenam, Najib sudah nampak “tanah di mana” yang boleh mereka beli dahulu sebelum dijual kepada Kementerian Pertahanan untuk memindahkan Kem Oran. Komisennya juga mestilah tinggi kerana Najib perlu banyak wang sekarang untuk menang pilihan raya di Parlimen Pekan.

Khabarnya Najib sudah beritahu kawan-kawannya, pengundi di kawasan Parlimen Pekan mesti dibeli dan dibayar dengan sejumlah wang. Jika tidak, musnahlah cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Ketika menjadi Menteri Pendidikan, Najib jelas gagal mengajak guru-guru menyokong kerajaan.

Bila di Kementerian Pertahanan, Najib juga jelas gagal meminta sokongan undi pos kepada Barisan Nasional.

Najib betul-betul pening kepala memikirkannya tetapi dalam masa yang sama, Najib kena mencari peluang “komisen” sebanyak mana yang boleh.

Yayasan Noah yang dipelopori Tan Sri Lim Goh Tong sudah tidak tahan membantunya untuk membekalkan wang bagi dia bertanding dan menang kerusi Naib Presiden Umno.

Najib juga sudah terasa, dari 151 pencalonan bahagian yang dia dapat, dia hanya mengutip 1,200 undi. Sedangkan dia berkira-kira memungut sekitar 1,600 undi. Najib tahu, tanpa wang yang banyak dia tidak boleh dapat kedudukan selesa selepas ini.

Najib tahu, Abdullah Badawi memang tidak minatkannya. Najib juga tahu Perdana Menteri sedang meneliti prestasinya sebagai menteri kerana nyata dia gagal.

Selain dari tidak pernah tercabar, Najib juga naik kerana dia anak bekas Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein.

Najib kuat dalam politik kerana dia ada saudara yang juga ada jawatan dalam Umno. Saudaranya termasuk Shahrir dan Hishammuddin. Tun Razak memang seorang pengamal nepotisme terkemuka. Dialah yang membawa Husein Onn, Hamzah Abu Samad dan Mohamad Jusoh untuk menguatkan kedudukannya. Semua mereka ini bersaudara dengan Tun Razak.

 

ummu_natasya@hotmail.com