Oleh Pena Suasa

 

ALAHAI Rafidah Aziz…masih pakai taktik lama. Cuba nak alihkan perhatian dan tumpuan orang ramai kepada isu baru yang sengaja dicipta, mungkin atas ‘arahan’ bossnya, Dr. Mahathir Mohamad supaya “jawatan Naib Presiden Umno” dimansuhkan.

Rafidah cuba nak bantu Dr. Mahathir yang sudah cukup terdesak berhadapan dengan isu Dato’ Shafiee Yahaya mendakwa beliau diarahkan memberhentikan siasatan terhadap penyiasatan rasuah Ali Abul Hassan Sulaiman.

Drama rompakan senjata di Grik nampaknya anti klimaks dan gagal membantu meredakan isu rasuah Ali Abu Hassan. Maka, Dr. Mahathir terpaksa mencipta lagi isu lain untuk mengalihkan perhatian orang ramai, khususnya ahli-ahli Umno supaya bercakap soal jawatan naib presiden perlu dimansuhkan.

Kita, jangan mudah lupa. Dulu Tun Ghafar Baba ada cadangkan supaya jawatan Timbalan Presiden dimansuhkan. Katanya, pilih lima Naib Presiden dan biarlah Perdana Menteri memilih salah seorang dari lima naib presiden itu menjadi timbalannya.

Cadangan itu heboh juga seketika tetapi senyap begitu sahaja kerana ia memang budaya Umno, certuskan sesuatu idea dan kemudian diamkan begitu sahaja.

Kita juga jangan mudah lupa, Anuuar Musa pernah mencadangkan supaya pemilihan Umno hendaklah diadakan lima tahun sekali kerana ahli-ahli asyik berpolitiking dan lupa kepada kerja-kerja kemasyarakatan.

Cadangan itu juga akhirnya berlalu begitu sahaja walaupun seketika ia menjadi bahan berita penting media massa arus perdana.

Sekali lagi kita jangan lupa, Ibrahim Ali pernah mencadangkan supaya Ketua Bahagian Umno dilantik oleh Presiden, dan tugas perwakilan cawangan memilih 30 Ahli Jawatankuasa Bahagian dan dari 30 AJK dipilih itu, biarlah seorang dilantik oleh Presiden Umno menjadi ketua.

Ia juga heboh seketika dan media massa arus perdana memainkan isu itu untuk beberapa hari tetapi kemudiannya berlalu begitu sahaja.

Mungkin idea Ghafar, Annuar dan Ibrahim ini sudah dilupai. Maka, seorang lagi ‘ulat’ Dr. Mahathir tiba-tiba, tanpa hujan, tanpa ribut dan tanpa asap, mencadangkan sesuatu yang terbuka untuk diperkatakan. Nantinya mereka, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak, Muhammad Muhd Taib dan Muhyiddin Mohd Yassin akan “berperang seketika” dengan Rafidah bagi mengajak rakyat melupakan seketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim, melupakan seketika kes rasuah Ali Abul Hassan dan paling penting melupakan Rafidah Aziz sendiri melakukan jenayah paling jijik kerana memberikan syarikat menantunya sejumlah besar saham.

Usah kita pedulikan soal mereka. Kita teruskan perjuangan menentang rasuah dan kezaliman. Kita asak Dr. Mahathir ke dinding. Kita minta rakyat membuka mata betapa jijiknya sikap Rafidah yang melakukan jenayah ketika menjadi menteri yang berkuasa menganugerahkan saham.

Saham itu milik rakyat. Saham itu bukan milik Rafidah. Rafidah melakukan kesalahan besar memberikan saham itu kepada syarikat menantunya. Lihat apa yang jadi kepada orang lain yang terlibat dalam kes-kes seumpama itu seperti Datuk Sahar Arpan di Melaka dan Dato’ Waad Mansor di Negeri Sembilan.

Rapatkan saf, teruskan perjuangan. Jangan sedikit pun kita lupa bahawa perjuangan membebaskan Anwar masih perlu diteruskan. Anwar adalah mangsa kezaliman. Anwar nyaris-nyaris terbunuh angkara keganasan Rahim Noor.

Anwar diracun dengan arsenik. Anwar difitnah. Keluarganya dimalukan. Anaknya Nurul Izzah juga cuba dilomori dengan kejijikan. Apakah kita masih leka, seronok dan terbuai dengan isu-isu yang sengaja diada-adakan termasuk rompakan senjata di Grik yang dibuat-buat sebegitu rupa. Kumpulan yang berani mati ini boleh tunduk hanya dengan didengarkan lagu Getaran Jiwa.

Biarkan Kumpulan Al-Mauna tidak kebal tetapi kita rakyat yang prihatin jangan bebal.