Adalah dimaklumkan bahawa Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia telah pun menghantar satu memorandum berkenaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 23 Februari 2001. Di bawah disertakan memorandum salinan untuk rujukan media. Terima Kasih.

RUJUKAN KAMI : UPM/MPP/PRES/MEMO-PTPTN/(01)

TARIKH : 23 FEBRUARI 2001

 

KEPADA:

Yang Amat Berhormat

Dato’ Seri

Abdullah Hj. Ahmad Badawi

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Pejabat Timbalan Perdana Menteri

Tingkat 4 West Wing

Jabatan Perdana Menteri

62502 Putrajaya

SELANGOR DARUL EHSAN

 

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PENETAPAN KADAR FAEDAH 4% OLEH PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL (PTPTN)

 

Kami Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPPUPM), ingin membuat bantahan terhadap pengenaan kadar faedah 4% oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN).

Bantahan kami ini adalah berasaskan beberapa sebab iaitu:

i. Keraguan terhadap pengenaan kadar faedah 4% sebagai berunsurkan riba.

Ini berasaskan kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Hj. Mohd. Hashim Yahya, pada 16 Januari 2001 sebagai berunsurkan riba’ al-Qardu (riba dalam bentuk pinjaman). Ini ditambah dengan kenyataan Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (JAKIM) yang mengatakan pinjaman PTPTN bukan merupakan pinjaman menggunakan konsep Islam Qardul Hasan yang diiktiraf dalam sistem muamalat (urusniaga) Islam.

ii.Masalah bebanan pembayaran balik pinjaman yang mencengkam kebanyakan pelajar Institut Pengajian Tinggi khususnya IPTA dan IPTS.

Pelajar dari IPTA yang mendapat pinjaman sebanyak RM 21,000 untuk tempoh tiga tahun pengajian terpaksa membayar sehingga RM 28,986 selepas mereka tamat pengajian kelak manakala pelajar daripada IPTS yang mendapat pinjaman sebanyak RM 60,000 terpaksa membayar sehingga RM 90,000 atau dengan kadar bayaran bulanan sebanyak RM 375 selepas 6 bulan tamat tempoh pengajian . Jumlah bayaran balik ini sangat membebankan kerana gaji asas bagi seseorang yang baru bekerja di sesebuah syarikat, sektor awam atau swasta sememangnya rendah berbanding bebanan kewangan lain yang harus ditanggung. Ia juga menyusahkan dan membantutkan hasrat pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana lantaran terkial-kial memikirkan wang bayaran balik pinjaman.

iii. Masalah pengurusan dan perkhidmatan yang tidak memuaskan .

Kadar faedah 4% yang dikenakan kepada peminjam PTPTN tidak setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan. Buktinya peminjam pinjaman PTPTN di UPM sahaja yang berjumlah hampir 17000 orang tidak mendapat perkhidmatan yang memuaskan daripada pihak PTPTN. Lebih malaang lagi pelajar terpaksa menghadapi banyak kerumitan terutamanya pada masa penerimaan pinjaman wang pada setiap semester. Terdapat juga pelajar yang terpaksa menunggu selama setahun sebelum pinjaman PTPTN diluluskan dan di UPM sendiri seramai 3000 pelajar terkandas di dalam pembayaran pinjaman PTPTN pada sesi ini. Pengenalan kepada pelbagai sistem dan kaedah pembayaran dari semester ke semester membuktikan lagi kelemahan pengurusan PTPTN. Ini berbanding pengurusan JPA dan MARA yang tidak menetapkan sebarang kadar faedah dan perkhidmatan yang diberikan adalah lebih baik, malahan pihak JPA dan MARA memberikan insentif kepada pelajar yang cemerlang dengan mengurangkan bayaran atau ditukar kepada biasiswa.

iv. Penetapan kadar faedah sebanyak 4% sebagai wang perkhidmatan adalah tidak munasabah.

Menurut pengurus korporat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, nilai 4% ini bukanlah bayaran perkhidmatan sebaliknya wang pusingan modal untuk pelajar akan datang. Ini kerana, bayaran perkhidmatan telah ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan memandangkan Perbadanan tersebut di bawah seliaan dan tanggungjawab kerajaan. Pihak MPPUPM berpandangan bahawa sekiranya ditetapkan juga kadar faedah ini, seolah-olah pelajar membayar gaji kepada pihak PTPTN. Andaikan 100 orang pelajar membayar sebanyak 4% ini jumlahnya sudah menjangkau RM 419,000.40. MPPUPM berpendapat PTPTN pada hari ini seperti sebuah badan yang mencari keuntungan tidak seperti yang dilaksanakan oleh MARA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sepatutnya perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak PTPTN kepada pelajar IPTA adalah sama dengan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelajar IPTS. Jadi mereka perlu membayar kos perkhidmatan yang sama walaupun pelajar IPTS mendapat pinjaman yang lebih tinggi daripada pelajar IPTA. Realiti yang berlaku kesemua peminjam PTPTN dikenakan kos perkhidmatan sebanyak 4% atas jumlah pinjaman yang diterima. Ini menjadikan pelajar IPTS terpaksa membayar jauh lebih tinggi berbanding pelajar dari IPTA. Contohnya pelajar IPTS dan IPTA yang meminjam masing-masing sebanyak RM 60,000 dan RM 2,100 akan dikenakan kos perkhidmatan sebanyak RM 30,000 dan RM 7,986. Ini jelas menunjukkan bahawa perkhidmatan yang diberikan pada kadar yang sama tetapi dikenakan bayaran yang berbeza. Oleh itu adalah tidak munasabah penetapan 4% bagi kadar faedah dikenakan kepada para pelajar kerana ia membebankan kami.

Kami, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia ( MPPUPM ) telah memutuskan resolusi berikut :

i. Menggesa Kerajaan mengkaji semula kadar faedah 4% yang dikenakan oleh PTPTN terhadap pinjaman yang diterima oleh pelajar IPTA dan IPTS kerana diragui berunsurkan riba, terlalu membebankan dan sangat tidak relevan dengan perkidmatan yang diberikan khususnya untuk penuntut-penuntut di IPT.

ii. Menggesa Kerajaan menukarkan pinjaman tersebut kepada biasiswa sepenuhnya atau menukarkan pinjaman tersebut kepada pinjaman bolehubah seperti yang ditawarkan oleh MARA dan JPA. Sistem ini mendorong pelajar untuk mencapai keputusan akademik yang lebih cemerlang seterusnya mengelakkan bayaran yang maksimum dikenakan terhadap para pelajar. Ini penting bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh para pelajar.

Kami sangat mengharapkan pihak Y.A.B. Dato’ Seri membuat pertimbangan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kadar faedah 4% PTPTN dalam menjaga kebajikan mahasiswa dan kepentingan negara. Ini menunjukan keperihatinan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap rakyat. Semoga memorandum ini mendapat perhatian yang serius oleh pihak Y.A.B. Dato’ Seri selaku Timbalan Perdana Menteri.

Yang menjalankan amanah,

……………………………

( CHE ZAKARIA CHE ALI)

Presiden,

Majlis Perwakilan Pelajar ,

Universiti Putra Malaysia,

Sessi 2000/2001.

 

s.k. : Menteri Pendidikan Malaysia

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

Naib Canselor UPM

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPM

Presiden Persatuan Mahasiswa IPTA/S

Presiden-presiden Kolej Kediaman UPM

Presiden-presiden Fakulti UPM

Presiden-presiden Persatuan/Kelab UPM

Fail