KINI

31 May 2000

Edisi 144

26 Safar 1421

 

Cabaran BA di Teluk Kemang

Teluk Kemang satu tempat yang cukup terkenal bagi orang Islam di Malaysia. Sejak dahulu di Teluk Kemang orang pergi menengok anak bulan setiap menjelang Hari Raya Puasa. Pada 30hb ini penamaan calon bagi pilihanraya kecil Parlimen Teluk Kemang diadakan. Barisan Alternatif (BA) akan mencalonkan Sdr Ruslan Kassim dari Parti Keadilan Nasional bagi mencabar BN. Lambang anak bulan bertaup akan berkibaran di Teluk Kemang dari sekarang sehinggalah hari pengundian pada 10 Jun depan.

Di atas kertas BN berasa lega kerana ia menang dengan kelebihan majoriti besar dalam pilihanraya umum November tahun lalu. Tetapi itu di atas kertas. Dalam pilihanraya kecil banyak kemungkinan boleh terjadi. Tidak mustahil BA boleh membuat kejutan. Pilihanraya kecil di Teluk Intan (Perak) dan di Arau (Perlis) beberapa tahun lalu menunjukkan bahawa BN boleh kecundang di kawasan kuatnya. Di Teluk Intan BN (Gerakan) tewas pada DAP. Manakala di Arau, BN (Umno) kalah pada PAS.

BA akan turun dalam pilihanraya kecil Teluk Kemang sebagai pencabar. Tekanan terletak ke atas BN (MIC) untuk mempertahankan prestasinya. Kekalahan BA di Sanggang Pahang baru-baru ini telah banyak memberi iktibar dan teladan untuk memperbaiki strategi kempen BA di Teluk Kemang.

Pada setiap kali pilihanraya kecil, BN akan menggunakan wang, jentera dan kakitangan kerajaan untuk berkempen baginya. BN akan menabur janji dan akan menggunakan politik wang untuk mendapat sokongan. Kalau Mahathir benar-benar mahu menghapuskan politik wang, maka dia mesti mengkotakannya dalam pilihanraya kecil ini. Tetapi di Sanggang, BN secara terang-terang mencurahkan wang untuk menang. Dalam setiap kali pilihanraya, baik besar atau kecil, BN akan berterusan menggunakan wang untuk mendapatkan sokongan. Rasuah politik yang diamalkan oleh BN itu patut ditolak oleh para pengundi di Teluk Kemang.

BA perlu mencabar BN supaya bertanding di Teluk Kemang atas prinsip kekuatan parti lawan kekuatan parti. BN ada 14 buah komponen. BA ada 4 parti komponen. BN jangan pakai jentera, wang dan kakitangan kerajaan. Gunakan ahli parti dan penyokong sahaja untuk kerja mendapatkan sokongan. Gunakan sumber wang parti sendiri. Jangan dapatkan peruntukan dari Jabatan dan Agensi Kerajaan, sama ada Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri Sembilan. Gunakan tenaga penceramah parti, bukannya penceramah dari Jabatan Penerangan, Jakim, Jabatan Agama dan BTN. Jangan gunakan Kemas. Itu semua agensi kerajaan. Rasuah namanya jika BN gunakan untuk tujuan membantu kempennya. Seterusnya BN gunakan perkhidmatan perisikan partinya sendiri. Jangan gunakan Special Branch. Salah dari segi undang-undang menggunakan Special Branch sebagai sumber risikan bagi BN.

Semua undang-undang yang ada telah digubal oleh Parlimen yang BN menguasainya lebih dua pertiga. Tetapi semua undang-undang berhubung kesalahan pilihanraya itu BN sendiri yang langgar! Siapa yang boleh bertindak dan menghukumnya? SPR? SPR tak mampu. SPR harimau tak bergigi! BPR? BPR adalah singa yang rongak! Suhakam? Jangan diharapkan sangat. Jadi rakyat sendiri atau para pengundi sendiri yang boleh kawal dan menghukum. BN yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa itu perlu ditolak. Para pengundi Teluk Kemang perlu memprotes. Satu undi kepada BA bererti menghantar satu protes terhadap BN.

Sungguhpun Teluk Kemang satu pilihanraya kecil, tetapi jangan jadikannya kecil. Selain isu-isu tempatan yang lebih dekat dirasai oleh para pengundi Teluk Kemang, isu-isu nasional juga perlu diketengahkan. Isu penswastaan yang membebankan negara dan rakyat perlu disuarakan. Hospital kerajaan sekarang kekurangan doktor. Lebih 40 ribu siswazah universiti tidak ada pekerjaan. Isu pembaziran dan rasuah perlu diperjelaskan. Soal nepotisme dan kronisme berterusan. Skandal-skandal rasuah besar-besaran seperti Perwaja masih belum ada penyelesaian.

Mahathir menutup segala kes rasuah yang melibatkan dirinya dan kawan-kawannya. Bagaimana dengan laporan polis Sdr Anwar Ibrahim tentang kes rasuah Daim Zainuddin, Rafidah Aziz, Rahim Thamby Chik dan lain-lain? Senyap sahaja hingga kini? Bagimana dengan kes rasuah sogokan Telekom oleh syarikat Mitsui Jepun? Senyap sepi sampai kini. Jadi adakah BN satu pemerintahan yang telus dan bersih? Pengundi Teluk Kemang akan menjawabnya sendiri.