KeADILan Antarabangsa Eropah (KAE)

London   Oxford  Manchester  Birmingham Glasgow  Bristol  Birmingham 

Cardiff  Dublin   Hamburg  Geneva  Brussels  Blois

 

Kenyataan Media
Tragedi Sauk: Kerajaan Pembohong Akan Hilang Kepercayaan Rakyat

MUKADIMAH

 

KeADILan Antarabangsa Eropah mengucapkan takziah kepada keluarga Detektif Sarjan R. Sagadevan dan Trooper Mathew ak Medan yang terkorban dalam tragedi Sauk.

Kami menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang ganas terhadap mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum. KeADILan Antarabangsa Eropah menyokong seruan Dr. Chandra Muzaffar, Timbalan Presiden KeADILan dan YAB Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang menolak keganasan dalam politik tanah air bagi pihak semua penyokong Barisan Alternatif.

Pengorbanan mendiang Detektif Sarjan Sagadevan dan Trooper Mathew patut dihargai dengan sepenuhnya. Untuk itu, rakyat Malaysia wajar menuntut agar kerajaan segera bertindak demi memastikan peristiwa Sauk tidak akan berulang lagi.

KESIMPULAN

 

KeADILan Antarabangsa Eropah menuntut agar satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan untuk menyiasat secara terbuka dan bebas mengapa senjata yang begitu banyak boleh diambil dengan begitu mudah.

Terlalu banyak pembohongan dilakukan oleh Dr. Mahathir Mohamad dalam menerangkan episod Sauk kepada rakyat. Malah, Dr. Mahathir telah mempergunakan kematian dua pegawai perkhidmatan pertahanan negara itu untuk menakut-nakutkan rakyat dan menuduh parti alternatif sebagai penyokong tindakan ekstrim. Ini tidak lebih daripada usaha mengaburi rakyat dalam mengenal pasti siapakah dalang sebenar di belakang tragedi Sauk dan siapa yang harus dipertanggungjawabkan terhadap kejadian tersebut.

AGENDA TINDAKAN

 

Kami menuntut agar Panglima-panglima Angkatan Tentera Malaysia bertindak dengan bijak dan mengeluarkan bukti-bukti tanpa bimbang dan takut supaya rakyat mengetahui kepincangan sistem yang sedia ada. Dengan ini kita dapat sama-sama memperbaiki keadaan yang sungguh merisaukan ini.

Kami memberi amaran kepada Dr. Mahathir bahawa sebarang pembohongan atau pemalsuan fakta akan dibongkar dan rakyat akan menolak kerajaan beliau yang pembohong dan khianat.

PENUTUP


KeADILan Antarabangsa Eropah dukacita kerana Dr. Mahathir mempergunakan tragedi Sauk sebagai isu politik demi mengalih perhatian rakyat terhadap rasuah, salah guna kuasa dan penipuan yang berlaku dalam kerajaan pimpinannya.

KeADILan Antarabangsa Eropah ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa para diktator di masa yang silam sentiasa cuba mengalih pandangan rakyat dengan peristiwa yang menggemparkan. Adolf Hitler, sewaktu ingin mengekalkan kuasanya yang terkikis akibat pilihanraya, merancang pembakaran bangunan parlimen Jerman (Reichstag) dan menyalahkan "puak ekstrimis" iaitu musuh politiknya. Tidak mustahil, Dr Mahathir dan kuncu-kuncunya para konspirator kelas antarabangsa seperti Daim Zainuddin dan Aziz Shamsuddin merancang peristiwa yang seiras.

Oleh itu, tanpa berlengah lagi, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera wajar menitahkan satu penyiasatan bebas dan berkecuali bagi membawa para pesalah ke muka pengadilan.


 

KeADILan Antarabangsa Eropah
Mesyuarat Dasar IV
Glasgow

18 Julai 2000


KeADILan Antarabangsa Eropah terdiri daripada masyarakat Malaysia yang sedang menuntut atau bermastautin di Eropah. Bermula dengan Deklarasi 2000, KeADILan Antarabangsa Eropah bergiat memperjuangkan isu-isu keadilan dan kesejahteraan tanah air di kalangan masyarakat Malaysia, NGO dan kerajaan-kerajaan negara luar. Cawangan-cawangan KeADILan Antarabangsa Eropah telah ditubuhkan di London, Oxford, Manchester, Birmingham, Glasgow, Bristol, Cardiff, Dublin, Hamburg, Geneva, Brussels dan Blois.