Oleh Ummu Natasya

 

Tengku Adnan Jadi Menteri?

 

DALAM suasana kira menahan kesedihan kerana pemimpin yang kita sanjung Dato’ Seri Anwar Ibrahim ditimpa musibah, Perdana Menteri terus menerus meraikan kejayaan menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Dato’ Seri Anwar khabarnya sedang menderita sakit tulang belakangnya, kaki kirinya dikatakan semakin mengecil dan rambutnya kian banyak gugur, Dr. Mahathir menghadiahkan kepada salah seorang anggota konspirator, Tengku Dato’ Adnan Tengku Mansor jawatan Senator selain Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.

Terbaru, ada sumber memberitahu, Dr. Mahathir akan melantik Tengku Adnan menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Wilayah Persekutuan.

Seperti yang saya tuliskan beberapa hari lepas, Tengku Adnan mendapat habuan kerana dialah orangnya yang membayar kepada penulis jahanam Khalid Jafri kos menulis, mencetak dan mengedarkan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Tengku Adnan cukup pandai ‘baling batu sembunyi tangan’. Dia buat-buat tidak terlibat tetapi dia menanggung Khalid berhadapan dengan kes ini. Semua kos guaman turut ditanggung oleh Tengku Adnan. Pejabatnya di Tingkat 37 Shahzan Tower dijadikan tempat menjalankan operasi mengirim buku ini kepada seluruh perwakilan dan pemimpin Umno di bahagian-bahagian.

Dalam perkembangan yang lain, Dato’ Dr. Siti Zaharah Sulaiman akan digugurkan dari kerusi Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat dan tempatnya digantikan Dato’ Shahrizat Abd Jalil.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dipindahkan dari Kementerian Pembangunan Usahawan ke Kementerian Kewangan.

Ingat! Pastikan Tengku Adnan hanya boleh menjadi Menteri selagi kerusi Senatornya bernyawa. Jangan benarkan dia menang pilihan raya jika dia dicalonkan BN dalam pilihan raya akan datang. Kalah Tengku Adnan sebagai jawapan “kepadanya” bahawa kita penyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak boleh memaafkannya.

Sehingga hari ini, Tengku Adnan terus menerus menjalankan aktivitinya memburuk-burukkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di samping mengedarkan video, makalah dan bermacam-macam bentuk fitnah bagi membunuh terus karier dato’ Seri Anwar.

Di Ibu Pejabat Umno, saban hari ada sahaja tauke-tauke judi datang menghantar wang kepadanya untuk memudahkannya membiayai segala bentuk serangan psikologi bagi menjahanamkan kreadibili tokoh terbilang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Jangan maafkan mereka ini. Biarlah mereka jadi Menteri kerana ada kuasa Perdana Menteri melantiknya melalui kerusi Senator, tetapi jangan benarkan mereka menang pilihan raya. Bersama-sama Tengku Adnan ialah Aziz Shamsuddin, Megat Junid Megat Ayub, Hamzah Zainuddin dan beberapa nama lagi yang sudah kita semua ketahui.

Kalau boleh ajar Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan mengalahkannya di Kubang Pasu. Tumbangkan BN di Kedah.

Jangan lupa, ibu segala rasuah, Rafidah Aziz juga mesti dikalahkan. Presiden Gerakan, Dr. Lim Kheng Yeik sudah mula memikir-mikirkan hari-hari terakhirnya di Beruas. Bersama-sama mereka, hanyutkan sekali Dato’ Seri S. Samy Vellu di Sungai Siput.

Seorang lagi ‘penjenayah’ yang tidak boleh dimaafkan ialah Datuk Mohd Azim Zabidi yang kini menjadi Pengerusi BSN. Dia juga cukup lantang menghina Dato’ Seri Anwar.

Ingat! Semua, jangan maafkan mereka ini. Ingat perbuatan mereka yang cukup keji menghina seseorang yang tidak dapat dibuktikan bersalah. Mereka menghina Dato’ Seri Anwar hanya kerana Dato’ Seri Dr. Mahathir mengarahkan mereka menghina Dato’ Seri Anwar.

Umno akan hancur di tangan Dato’ Seri Dr. Mahathir dan Dr. Mahathir sedang menuding jari menyalahkan orang itu dan orang ini kerana “menyebabkan Umno” semakin mengecut sokongannya.

 

habis