Oleh Pena Suasa

 

MB Selangor Hina Exco Yang Ada

 

RUJUK tulisan saya bertarikh 22 Ogos 2000 bertajuk Jika Exco Selangor Bermaruah… yang tersiar di semua laman-laman pro reformasi, bahawa perlu bagi Timbalan Menteri Besar, Exco-exco dan wakil-wakil rakyat di Selangor meletakkan jawatan apabila Menteri Besar yang masih belum mengangkat sumpah “meletakkan mereka semuanya di bawah tapak kakinya”.

Hari ini, Harian Metro melaporkan Menteri Besar hingusan ini sudah membayangkan mahu menggugurkan semua Exco yang sudah berkhidmat lama kecuali dua. Dua Exco yang baru merasakan kerusi Exco Kerajaan Negeri selepas pilihan raya umum ke 10, 29 November 1999 lalu mungkin dikekalkan, beliau dipetik sebagai berkata.

Sehari sebelumnya, “budak hingusan ini” mengatakan dia tidak akan memecat sesiapa dan mungkin mengekalkan kesemuanya, bagi meneruskan pembangunan di Selangor.

Tunggu apa lagi… Dato’ Dr. Zainal Abidin Ahmad yang menjawat jawatan Timbalan Menteri Besar sepatutnya berani berundur, sebelum dipecat.

Dr. Zainal sudah cukup kaya, sudah cukup wang untuk hidup. Hendak dibandingkan ketika dia di Universiti dahulu, bagai langit dengan bumi.

Dato’ Mohtar Dahlan juga begitu. Wang sudah banyak, tanah sudah banyak dan harta cukup untuk keluarganya hidup sekitar tujuh keturunan. Nak tunggu apa lagi? Nak tunggu kena pecat baru nak bersara, maknanya tidak ada maruah mereka ini.

Fatah Iskandar yang tidak tahu cakap Inggeris pun sepatutnya sudah boleh berundur. Apa lagi yang hendak ditunggu. Sudah cukup kaya dah. Kawan-kawan yang dia tolong berniaga, carikan projek pun sudah cukup kuat untuk membantunya.

Usahlah ikut perangai Dato’ Seri Onn Ismail. Dia ni memang tidak tahu puas. Selagi ada, dia memang hendak tunggu di situ. Speaker pun tidak mengapa, asalkan bergelar YB.

Dr. Mohamad Khir Toyo tidak perlu hurmatkan sesiapa di Selangor kerana dia naik bukan kerana orang Selangor. Dia naik kerana Dr. Mahathir. Dia naik kerana dia seorang doktor. Dia naik kerana dia layak. Dia perasan dialah yang paling hebat di Selangor menyebabkan Dr. Mahathir melantiknya.

Itulah sebabnya tanpa segan silu dia mengumumkan mahu memecat sebahagian besar Exco yang ada kecuali Norkhaila Jamaluddin dan Raja Idris.

Sharif Jajang juga sepatutnya sudah boleh berhenti. Nak tunggu apa lagi. Nak kaya, sudah cukup kaya. Tak ada maruah langsung bila nak tunggu kena pecat baru nak berundur.

Hari ini yang sedang pasang badan untuk jadi Exco ialah Rahman Palil, Ahmad Bhari Abd Rahman dan Satim Diman.

Mereka semuanya tidak beli ‘cermin besar’ untuk cermin wajah sendiri sama ada layak atau tidak duduk sebagai Exco.

Perdana Menteri sudah tidak percaya mereka, mereka masih nak mengharapkan sesuatu dari Dr. Mohamad Khir Toyo. Mereka tidak tahu, perlantikan Exco pun ditentukan Perdana Menteri kerana Dr. Mohamad Khir tentunya tidak akan berani membuat sebarang perubahan tanpa persetujuan Dr. Mahathir.(PS)