Oleh Pena Suasa

 

Apa lagi hendak diharapkan pada negara ini?

 

HARI Jumaat, 30 Jun lalu, saya bersembahyang Jumaat di Masjid Negara. Selepas selesai berjamaah, seperti biasa saya mendirikan solat sunat dua rakaat sebelum meninggalkan masjid.

Setelah selesai, sebelum meninggalkan tempat saya bersembahyang, saya terpandang seorang lelaki bertubuh gempal dan bermisai tebal, dengan bush jacket menunggu seseorang di bahagian luar dewan sembahyang.

Hati saya mengesyaki tentu ada menteri di dalam masjid dan ini adalah body guardnya. Rupa-rupanya saya tersilap kerana yang lalu hampir dengan saya ialah Tan Sri Mohtar Abdullah.

Ketika dia melangkah keluar, saya nampak mata memandang ke arahnya tetapi tiada siapa yang menghulurkan tangan bersalaman dengannya. Maknanya, tiada siapa peduli… tiada siapa mahu bersalam dengan manusia durjana seperti ini.

Dalam kerajaan dia memang berpangkat besar tetapi dalam masjid, dia tidak dipedulikan. Cuma, hati saya berdetik mengatakan mata yang memandangnya itu tertanya-tanya beranikah dia mendakwa Presiden Universiti Islam Antarabangsa, Tan Sri Sanusi Junid dan beranikah dia menyediakan pendakwaan terhadap Dr. Mahathir Mohamad yang heboh dituduh menghalang bekas Ketua Pengarah BPR, Dato’ Shafiee Yahaya dari menjalankan tugas menyiasat dari mana Tan Sri Ali Abul Hasan Sulaiman dapat wang sejumlah RM100,000 ketika bertugas di EPU, Jabatan Perdana Menteri.

Mohtar atau di kalangan penyokong reformasi memanggilnya dugong terlalu biadap ketika mengendalikan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ketika Anwar mendapati dirinya termakan arsenik, Mohtar dengan celupar menuduh keluarga Anwar yang meracun Anwar.

Begitu juga dengan ‘tuannya’ Dr. Mahathir yang pernah menuduh Anwar mencederakan dirinya untuk menarik perhatian umum.

Bagaimana pun bila Peguam Karpal Singh menuduh pihak atasan yang meracuni Anwar, dia didakwa.

Maknanya, Mohtar sebagai Peguam Negara hanya berani mendakwa siapa yang tidak sehaluan dengan Dr. Mahathir dan siapa-siapa yang Dr. Mahathir arah didakwa. Maknanya, Mohtar adalag Peguam Negara kepada Dr. Mahathir dan bukan Peguam Negara kepada negara berdaulat bernama Malaysia.

Seorang peguam terkemuka tanahair pernah memberitahu saya; “Untuk mendakwa Anwar Ibrahim, Dr. Mahathir sanggup merosakkan institusi Kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan Institusi Kepolisian.”

Maknanya, tidak ada bukti, boleh dicari. Tidak ada tuduhan, boleh dipinda-pinda. Tidak ada kes, Peguam Negara boleh siapkan ‘kertas pertuduhan’ asalkan hati Perdana Menteri dapat dijaga.

Malaysia, apakah akan jadi jika orang-orang seperti Mohtar dan Dr. Mahathir ini masih kekal dan berkuasa?

Rakyat… bila lagi mahu menjalankan tugas dan tanggungjawab menumbangkan kerajaan yang ada serta kita hukum mereka yang nyata pengkhianat.

Mahu mengharapkan Abdullah Badawi, alamat tunggu kucing bertanduklah. Dia penakut dan dia tidak ada karisme. Dia betul-betul “budak suruhan” atau Habibie kepada Dr. Mahathir. Apa lagi yang diharapkan kepada sebuah negara seperti ini… selain dari menyaksikan Dr. Mahathir terus bermaharajalela dan kuncu-kuncunya seperti Mohtar dan Rahim Noor  “brain” bebas sebebasnya.