Oleh Pena Suasa

 

Berita Harian patut ubah sikap, bukan ubah wajah

 

BERITA Harian yang berubah wajah mulai semalam, 19 Jun 2000 tidak berubah sikap sebenarnya. Ruangan Minda Pengarang, 20 Jun 2000 menyentuh tentang Parti Keadilan Nasional (keADILan) yang kononnya sebuah parti serpihan yang semakin retak.

Salah seorang bekas wartawannya memberitahu, motif perubahan itu kerana jumlah edarannya semakin berkurangan. Bonus kakitangan sudah semakin dipotong dan pemberian daging lembu sebanyak enam kilo seorang setiap Hari Raya dimansuhkan. Perubahan itu dibuat untuk mencari nafas lega, setelah sesak sekian lama. Perubahan dibuat untuk menjauhkan wajah Dato’ Kadir Jasin dalam konsep akhbar itu.

Hakikatnya, tiada siapa terkejut jika parti-parti kecil retak. Ini sudah lumrah dan sejarah juga membuktikan parti yang hadir ke dunia tanpa sebarang kuasa, memang sukar untuk melayari bahtera.

Tetapi, Berita Harian harus tahu bahawa Umno, sebuah parti yang mendakwa mempunyai kekuatan luar biasa, hampir-hampir tersungkur dalam pilihan raya umum lalu. Cuba bertanya, dengan kuasa dan kemudahan kerajaan yang disalah gunakan, berapa banyak wang habis dibelanjakan untuk menang pilihan raya? Dalam pilihan raya kecil DUN Sanggang dan Parlimen Teluk Kemang, berapa tan beras BERNAS digunakan untuk menyogok rakyat?

Nasib baiklah ada orang bukan Melayu yang masih mengundi Umno yang menjadi sebab mengapa mereka memerintah hari ini.

Menghina keADILan kononnya sebuah parti yang lahir kerana emosi dan demontrasi jalanan dalam menagih sokongan tidak ada faedahnya. Dengan sebuah parti kecil seperti keADILan, Umno nazak, apa akan jadi kalau keADILan semakin subur?

Berita Harian harus berubah sikap. Jangan hanya berubah wajah. Seorang dua pemimpin keADILan yang keluar parti bukan bermakna parti itu akan singkat usianya. Usaha penggabungan dengan PRM juga usah dianggap enteng kerana PRM sudah membuktikan bahawa parti ini masih mampu hidup dengan idealisme perjuangannya sejak puluhan tahun.

Sekecil mana parti, asalkan para pemimpinnya berprinsip, ia harus dihurmati. Pendaftarannya dihalalkan dan tidak ada sebab mengapa masih ada yang tidak puashati dengan kehadirannya. Ia berdaftar dan sah dari segi undang-undang.

Di belakang keADILan ada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Hanya disebabkan dia dipenjarakan secara tidak sah, maka pergerakan dan kepimpinannya terhad. Jika Dato’ Seri Anwar berada di luar, Umno sudah menjadi bahan kajian sejarah hari ini.

Dr. Mahathir Mohamad sendiri sedar selagi Anwar berada di dalam penjara, dia boleh memerintah Malaysia ini. Tetapi, jika Anwar keluar, bebas dan boleh berucap, mereka semua akan gulung tikar bantal lari menyemalatkan diri, entah di gua mana.

Mustahil dalam tempoh 20 tahun memerintah, tiada satu pun kesalahan dan kesilapan yang dilakukan. Mustahil semua menteri-menteri kabinetnya terlepas dari melakukan kesalahan. Tunggulah, masa akan menjawab, apakah mereka yang berkuasa hari ini akhirnya menjadi banduan atau tidak selepas ini.

Sama-sama kita tengok, dimana muka-muka yang lari meninggalkan perjuangan hari ini seperti Zuraidi Rahim, Wan Indera dan Zul Azhar Cha yang terpalit dengan kes pecah amanah diletakkan oleh Umno sebaik sahaja mereka disahkan menjadi ahli nanti.

Soal Hajah Marina, dia seorang pemimpin matang. Berilah dia peluang untuk berehat kerana alasannya, kesihatan menjadi sebab mengapa dia meletakkan jawatan dan meninggalkan keADILan. Seluruh ahli-ahli keADILan dan para simpatisan perjuangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim seharusnya mendoakan agar Hajah Marina diberikan taufik dan hidayah.

Kita tengok bagaimana Khairuddin Abu Hassan yang beria-ia sangat dahulu mengaku bersaudara dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim diperlakukan oleh Umno. Dia mengeluarkan kenyataan mahu bertanding Exco Pemuda Umno. Bukan sahaja dia tidak layak, malahan tiada langsung pencalonan.

Lihat Dato’ Ibrahim Ali yang menghentak meja, menjerit ke arah Dato’ Seri Anwar ketika mesyuarat MT Umno pada malam 3 September 1998, dikalahkan oleh perwakilan Umno dalam pemilihan 11 Mei 2000 yang lalu.

Tan Sri Hussein Ahmad, bekas Ketua Penerangan Umno dan Tan Sri Mohamed Rahmat yang masih menjadi Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tidak langsung cukup syarat untuk turut bertanding MT Umno.

Inilah fokus Berita Harian sebenarnya. Umno hilang pedoman memilih pemimpin. Jawatan Presiden dikhaskan untuk Dr. Mahathir seorang sejak Umno ditubuhkan semula dalam tahun 1988 dahulu. Jawatan Timbalan Presiden menjadi jawatan lantikan sahaja apabila tidak dibolehkan bertanding. Nasihat yang kononnya nasihat sudah menjadi nasihat Residen British, yang mesti diikuti. Yang untung dalam Umno hanya Dato’ Mustapa Mohamed kerana Tun Daim Zainuddin yang menentukan hidup dan mati politiknya. Dia disediakan untuk jadi Menteri Kewangan. Rupa-rupanya perancangan manusia tidak mengatasi kehendak Allah.

Berita Harian sepatutnya bertanya diri sendiri; calon-calon yang disokong mereka secara terang-terang termasuk menggunakan tulisan Tan Sri Abdullah Ahmad bekas tahanan ISA yang didakwa terlibat dengan ideologi komunis menang atau tidak?

Kalau tidak menang bermakna kekesanan akhbar ini sudah berkurangan. Tak kan tak faham kot!