Oleh PENA SUASA

 

Kisah Abdullah Che Man yang sering ke Thailand

 

SEORANG yang bernama Abdullah Che Man, mendakwa dirinya sebagai bekas Ketua keADILan Bahagian Kuala Krai, Kelantan telah membuat laporan polis berhubung kononnya Ahli Parlimen Peringat, Ustaz Muhammad Mustapha mempunyai dua kerakyatan, iaitu Malaysia dan Thailand.

 

Ustaz Muhammad sudah pun menafikan dakwaan itu. Beliau dilahirkan di Narathiwat selatan Thailand pada 22 Ogos 1958. Bapanya berasal dari Kampung Pelakbang, Tumpat. Disebabkan kemiskinan, bapanya bekerja di Thailand dan berkahwin di sana. Ustaz Muhammad juga mengesahkan beliau sering berulang alik ke Thailand dan pernah belajar pondok di Dala Pattani tetapi tidak menjadi warganegara Thailand.

 

Budak Abdullah sudah dapat kerja sekarang. Sejak dia tidak dapat menjadi calon pilihan raya umum ke 10, dia bertindak meninggalkan keADILan dengan beberapa “ulat” lain. Masing-masing disambut dalam satu majlis, yang ada pancaran lampu dan kamera TV.

 

Kerja pertama, menyerahkan borang permohonan keahlian Umno dalam satu majlis dengan harapan boleh melumpuhkan BA di Kelantan dalam pilihan raya umum lalu dan kerja kedua, buat laporan polis terhadap Ustaz Muhammad. Buat laporan pula di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Budak ini sebelum pilihan raya menginap di Brisdale Hotel Kuala Lumpur. Berulang alik ke rumah Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu dengan Presiden keADILan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, menuntut untuk diberikan satu tempat, di mana-mana sahaja di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Dia hendak bertanding.

 

Budak ini menceritakan kononnya, Ustaz Muhammad tidak boleh dijadikan pemimpin keADILan Negeri Kelantan. Dia hanya tunduk kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dia mendakwa keADILan tidak ada suara langsung di Kelantan. Dia membuat pelbagai dakwaan, asalkan dia dapat menjadi calon keADILan di mana-mana sahaja kerusi yang akan ditentukan.

 

Datin Seri Dr. Wan Azizah tidak dapat melayan permintaan ini kerana soal pembahagian kerusi sudah ditentukan oleh MPT keADILan melalui perundingan kepimpinan Barisan Alternatif (BA). Budak Abdullah terus melobi. Pelbagai jalan digunakan. Ada cerita mendakwa Abdullah sebenarnya sudah merancang untuk “menarik diri” dari menjadi calon ketika kempen berjalan dan mahu mengisytiharkan dirinya menyertai Umno. Ada rundingan yang sedang dijalankan ketika itu.

 

Allah tidak merestui perancangan jahat itu. Dia gagal dicalonkan. Tetapi niatnya untuk “menjual” dirinya dilakukan juga. Dia disambut oleh calon BN kawasan Peringat, Dato’ Annuar Musa.

 

Semua bekas ahli keADILan yang baru-baru ini turut mengisytiharkan diri keluar dari parti ini boleh belajar dari budak Abdullah ini. Kalau hendak kerja selepas mencaci keADILan, buatlah kerja-kerja yang bertujuan merosakan keADILan. Ada habuannya. Budak Abdullah tidak akan buat kerja ini jika tidak ada yang “menajanya” ke Kuala Lumpur.

 

Wartawan akhbar-akhbar besar di Kuala Lumpur boleh bertanya kepada budak Abdullah ini, berapa cawangan yang dia ketuai hingga dia mendakwa menjadi Ketua keADILan Bahagian Kuala Krai? Berapa Ahli-ahli keADILan Bahagian Kuala Krai ketika dia menjadi ketuanya?

 

Budak Abdullah ini sering ke Thailand. Apa kerjanya di sana, hanya dia dan Allah SWT sahaja yang mengetahui. Tiba-tiba dia dengan cerita di kaki-kaki lima hotel murah, bahawa Ustaz Muhammad adalah warganegara Thailand. Maka bergegaslah dia ke Kuala Lumpur, mencari orang-orang Umno yang sudah kalah dalam pilihan raya, menyampaikan “berita gembira ini”.

 

Orang-orang Umno yang kalah dalam pilihan raya sudah nampak melalui mahkamah, mereka tidak akan menang kes. Mereka tidak ada peluang untuk menjadi Ahli Parlimen semula. Maka, cari jalan mudah ini, meminta mahkamah mengisytiharkan Ustaz Muhammad tidak layak menjadi Ahli Parlimen dan calon BN diisytiharkan menang di situ. Serupa macam kes di Bukit Bintang dalam pilihan raya umum 1995 dahulu.

 

Hanya tiga kawasan sahaja yang kemaruk sangat orang Umno yang gagal jadi Ahli Parlimen. Pertama Jeli, kedua, Pasir Mas dan ketiga, Peringat. Masing-masing berangan nak jadi menteri semula. Alahai… Abdullah Che Man, apalah malang nasib kamu!

 

Pergilah sekali lagi ke Nakul berhampiran dengan Golok. Siasat lagi kalau ada cerita baru yang boleh menyebabkan Annuar Musa “kembali” berangan-angan boleh jadi menteri. Tentunya ada wang di situ. Tentunya ada habuan di sana.

 

Annuar Musa ada banyak wang. Tengoklah kereta apa yang dia gunakan sebaik sahaja dia kalah pilihan raya baru-baru ini. Tengoklah juga kereta apa isterinya pakai sekarang. Dia cukup kaya selepas sembilan tahun menjadi Menteri. Budak Abdullah boleh tumpang sikit-sikit.

 

Paling tidak, boleh bekerja di ladang ayam Annuar Musa di Bukit Cina, Kelantan atau di ladang ayam di Negeri Sembilan. Tak dapat ayam, tahi ayam tentu ada.