Oleh Pena Suasa

 

keADILan … biar kecil, asalkan berkualiti

 

(Sambungan Siri 3 dan akhir)

 

KALAU Hu Sepang keluar, DAP tidak mati. Nakhaie Ahmad keluar PAS tidak mati. Kassim Ahmad keluar PRM tidak mati. Siapa Wan Indra Putra, Zul Azhar Cha, Baharudin Ali Masrom, Zuraidi Rahim dan seorang dua lagi budak hingusan ini dalam keADILan ini?

Matikah keADILan dengan ketiadaan mereka ini? Rebahkah keADILan jika seorang dua lagi melarikan diri dari parti ini yang mereka dakwa sudah tiada perjuangan? Pudarkah keADILan jika masing-masing mendedahkan kelemahan keADILan yang mereka dakwa “itu dan ini” selama mereka bersama parti itu?

Seperti yang dikatakan terdahulu, tiada siapa yang penting di dalam mana-mana parti. Orang-orang yang keluar dari mana-mana parti, kemudiannya memburuk-burukkan parti tempat mereka bernaung dahulu, orang itu yang tidak betul. Parti itu betul. Kalau parti itu salah, tentu ada undang-undang yang boleh mendakwa. Parti itu boleh sahaja dikenakan tindakan.

Kalau Datin Seri Dr. Wan Azizah dilihat menyeleweng, lawan dia sebagai Presiden keADILan. Kalau Mohd Ezam dilihat sudah semakin surut semangat juangnya, tentang dia. Kalau Dr. Chandar Muzafar dilihat sudah menyeleweng, mengapa tidak ditandingi dia. Tunggu masa dan ketikanya.

Ini amalan politik di Malaysia. Tidak tahu pulak jika ada amalan lain, lari meninggalkan parti, buat cerita buruk-buruk dan tabur fitnah sebagai cara baru berpolitik.

Untuk menempuh zaman yang lebih mencabar, banyak lagi masalah yang bakal keADILan temui. Ini baru permulaan. Biarkan mereka ini pergi. Doakan kesejahteraan mereka. Yang tinggal itu nanti akan mencorakkan parti yang baru setahun jagung ini.

Pucuk pimpinan keADILan seharusnya tidak melengah-lengah usaha membincangkan penggabungan. Kerja-kerja baik jangan ditangguh-tangguh lagi. Soal berjaya atau tidak, kesannya tidak banyak. Tetapi negara ini akan kerugian jika tidak ada seorang pejuang seperti Dr. Syed Husin Ali yang begitu lama menghambakan diri dalam PRM.

Usah dilayan cerita-cerita remeh. Masih banyak cabaran menunggu di depan. Dalam situasi ahli-ahli Umno getek melihat perkembangan parti itu, masih ada yang terkial-kial mahu menyertainya.

Kalau Umno sudah cukup kuat, mereka tidak memerlukan seorang Timbalan Presiden untuk menyambut Baharudin Ali Masrom. Siapa budak ini di Tanjung Karang? Pengikutnya yang didakwa 60 orang bersama-samanya untuk memohon menyertai Umno tidak akan lebih dari melukut di tepi gantang. Malahan, mereka tentunya bakal menimbulkan masalah kepada cawangan-cawangan Umno yang bakal mereka tumpangi.

Ahli-ahli keADILan harus menghurmati pemimpin seperti Nell Onn dan Marina Yusoff. Mereka meletakkan jawatan tanpa cerita buruk memburuk. Mereka tentunya tahu cerita kelemahan jika mahu didedahkan. Begitulah juga Umno. Jika ada sesiapa yang meninggalkan Umno, tentunya mereka akan bawa cerita buruk. Ini kelaziman dan lumrah.

Kata orang-orang bijak pandai, nak tahu baik kawan, bertanya pada sahabat. Nak tahu buruk kawan, tanya pada musuh.

Mantapkan saf kepimpinan. Susun semula struktur dan susun kerja-kerja parti ke arah menyediakan saf yang lebih berani, istiqamah dan ikhlas.

Kursus-kursus perkaderan hendaklah dimulakan. Tabung kewangan perlu dikemaskinikan. Teruskan azam untuk membebaskan Anwar Ibrahim – bapa reformasi politik Malaysia. Walaupun Anwar terpenjara, faedah besar sedang dinikmati rakyat Malaysia. Banyak perkara yang terdedah, menunjukkan betapa besarnya natijah yang Allah SWT berikan.

Anggaplah pemenjaraan Anwar merupakan pengorbanan yang dibuatnya untuk reformasi politik negara ini. Walaupun bangsa Melayu merupakan bangsa yang cukup singkat ingatannya, tetapi apa yang didapati dari hari Anwar dipecat, tidak akan didapati jika Anwar memilih untuk “bersekongkol” dengan Dr. Mahathir. Anwar bukan Zul Azhar Cha. Keluar penjara, minta bantuan Mohd Ezam dan kemudian tikam kawan dari belakang.

Anwar adalah pejuang. Dia boleh memilih jalan selamat, memohon maaf dengan Dr. Mahathir dan kemudian meninggalkan Malaysia dengan alasan menyambung pelajaran atau atas faktor kesihatan. Politik Malaysia akan senyap. Yang menyamun boleh terus menyamun. Yang rasuah boleh telan terus apa yang mereka mahu. Yang mengumpul harta secara tidak sah juga boleh bersenang lenang jika Anwar memilih jalan selamat.

Namun, Anwar memilih penjara. Anwar memilih perjuangan. Marilah kita tumpang semangat kepahlawanan Anwar itu untuk sama-sama menghirup nafas kemerdekaan sebenarnya dengan memberi ingatankan kepada para penyamun, perasuah, pengumpul harta haram dan penipu rakyat supaya lebih berhati-hati. Kalau boleh hentikan kerja-kerja itu. Walaupun selagi Dr. Mahathir berkuasa, dia selamat… kawan-kawannya juga selamat tetapi jika rakyat sedar, berani membuat perubahan dan yakin kuasa rakyat adalah kuasa besar… mereka semua ini akan berderet-deret ke penjara kelak ketika Anwar sudah berada di luar.

Budak-budak kaki lima ini semua jangan dikisahkan. Hingus mereka masih meleleh. Mereka bukan sahaja tidak berani menyebut perkataan penjara, malahan dengan isteri sendiri pun mereka takut. Mereka sebenarnya isteri dan isteri mereka mungkin suami.Isteri mereka yang menentukan perjuangan mereka. Mereka semua takut bini!

 

 

habis