Oleh Pena Suasa

 

Nak keluar… tunggu apa lagi…

(sambungan)

 

AWAL-AWAL kelahiran parti politik di Malaysia (Malaya), cerita keluar masuk parti sudah berlaku. Yang keluar akan mati, tetapi biasanya parti akan hidup. Tiada siapa boleh menganggap diri mereka penting. Dengan lain perkataan, “kalau aku keluar, parti akan mati!”

Silap besarlah perkiraan itu. Pengasas Umno, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar bertindak meninggalkan Umno bersama-sama anaknya Allahyarham Tun Hussein Onn. Namun Umno tidak mati.

Apakah Dato’ Onn tidak penting kepada Umno? Jawapannya tentu penting tetapi ia tidak langsung menyebabkan parti itu mati, walaupun yang mati ialah Dato’ Onn.

Allahyarham Tan Sri Asri Muda, Haji Nakhaie Ahmad dan Malek Hussein bertindak meninggalkan PAS. Apakah Allahyarham Asri, Nakhaie dan Malek tidak penting kepada PAS? Jawapannya tentu penting tetapi PAS terus hidup, berkembang dan sihat tanpa mereka. Yang mati Asri tetapi PAS hidup.

Bukan seorang dua yang bertindak meninggalkan DAP. Antaranya Richard Ho, Hu Sepang, Ramli Mohd Yunus dan seorang dua lagi. Apakah DAP mati dengan kehilangan seorang dua ini. Malahan, DAP terus hidup. Terus menjadi sebuah parti yang masih diberikan perhatian oleh masyarakat Cina. Inilah satu-satunya parti politik pembangkang Cina yang masih ujud di Malaysia dan bergerak aktif.

Begitu juga dengan PRM. Parti ini pernah kehilangan Kassim Ahmad dan Osman Safian. Kassim masih terus dengan aktivitinya, menulis dan sesekali cuba mencari peluang berniaga dan Osman Safian kini sudah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kempas di Johor atas tiket BN. Apakah PRM mati? Jawapannya tentu tidak. Maknanya, tiada siapa yang penting dalam sesebuah parti. Yang penting ialah parti itu bersama-sama seorang dua pendokong yang mempunyai idealisma, istiqamah dan ikhlas berjuang.

Menyebut contoh ini, ia sekali gus mengingatkan para penjawat beberapa jawatan penting atau tidak dalam keADILan. Mereka jangan ingat mereka penting. “Oh! Kalau aku keluar meninggalkan keADILan, pada muka keADILan. Akan lumpuhlah parti itu. Akan rebahlah parti itu. Akan hancurlah parti itu.”

Pemikiran itu silap. Silap besar. KeADILan tidak bersandar kepada mana-mana individu. Waima hari ini jika Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail sendiri berhenti, keADILan masih hidup. Percayalah!

Perjuangan ini sebenarnya dijiwa. Ia bukan pada tubuh badan. Ia bukan pada pakaian dan songkok. Ia bukan pada diri sesiapa.

Jiwa perjuangan ada pada setiap orang. Penentangan terhadap Umno sentiasa ada. Ia menjadi semakin kuat, bergelombang dan berkocak apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat dari semua jawatannya dan disingkirkan dari Umno.

Ia menjadi kemuncak apabila Anwar mahu dimalukan. Anwar mahu diancam dengan pelbagai ancaman. Anwar mahu dihina sehina-hinanya, hinggalah Anwar mahu dibunuh ketika dalam tahanan polis. Rakyat bangkit memberontak. Ada yang masuk PAS, ada yang masuk PRM dan ada yang masuk DAP. Dalam masa yang sama, ada yang tertunggu-tunggu apakah Anwar akan menubuhkan parti politik kerana masing-masing, ketika itu mahu membela dan merasa bersimpati kepada Anwar.

Maka, pihak-pihak yang komited akhirnya bersetuju mengambil alih dan merubah wajah Parti Ikatan yang fokus utamanya di Terengganu ketika itu untuk menjadi Parti keADILan yang ada hari ini. Rais Yatim pernah membuat fitnah besar dengan keujudan keADILan dengan menyifatkan Ikatan itu sebenarnya ditubuhkan oleh Anwar sebagai persiapan untuk menentang Umno. Inilah satu fitnah paling besar datangnya dari seorang yang “menjilat ludah” ditapak kaki Dr. Mahathir. Parti Ikatan ini tidak ada kena mengena dengan Anwar. Ia ditubuhkan hasil perpecahan dari Hamim, parti yang diasaskan Allahyarham Tan Sri Asri Muda. Tujuannya menjadi sebuah parti Melayu/Islam yang mahu duduk sama-sama dalam Barisan Nasional kerana mahu menseimbangkan parti Melayu, Cina dan India di dalam BN.

Mereka tidak mahu, kalau Umno diharamkan seperti tahun 1988, Dr. Ling Liong Sik yang jadi Pengerusi BN. Kata mereka, Cina ada dua parti iaitu MCA dan Gerakan. India ada dua parti, PPP dan MIC. Sarawak juga mempunyai lebih dari satu parti termasuk Sabah yang mempunyai suara lebih dari satu.

Tiada siapa menulis mengenai kebenaran ini. Tiada siapa mahu menceritakan sejarah Ikatan. Mereka sudah banyak kali memohon menyertai komponen BN tetapi tidak mendapat layanan. Tun Ghafar Baba ketika menjadi Setiausaha Agung BN pernah didatangi pemimpin Ikatan tetapi jawapannya “senyap” begitu sahaja.

Akhirnya, pemimpin parti ini membenarkan parti mereka diambil alih kumpulan yang memimpin sekarang kerana mereka tahu, Ikatan pun tidak boleh berbuat apa-apa jika tidak menyertai BN.

Dari sumber mana Rais dapat maklumat kononnya Ikatan ditubuhkan oleh Anwar? Mengapa Rais tidak belajar agama bab dosa fitnah? Sayang, manusia yang dilahirkan sebagai Melayu dan beragama Islam tetapi tidak takut “d o s a” . Yang dia takut I S A.

Berbalik kepada yang diberikan jawatan dalam keADILan, mereka kenalah tahu bahawa jawatan itu adalah amanah. Tidak boleh pikul, serahkan balik. Ada orang lain yang mampu. Mereka hanya dikutip berdasarkan situasi waktu itu, bukan pemilihan ahli-ahli dari peringkat grass root.

Silap besarlah kalau masuk menjadi ahli mana-mana parti, mengharapkan diri menjadi menteri, atau ada peluang nak jadi kaya raya. Yang jadi menteri dalam Umno pun tewas dalam pilihan raya, inikan pula masuk keADILan.

Muka-muka yang keluar dari keADILan dengan cerita-cerita buruk terhadap parti itu tidak tentu boleh jadi calon pilihan raya. Dan kalau boleh jadi calon sekali pun, belum tentu boleh menang. Yang lebih mustahak, mereka belum tentu boleh jadi ahli Umno. Tak payahlah serah borang kepada Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana yang proses kemasukan bukan Pak Lah tetapi budak-buda lain termasuk Tengku Adnan dan Khalil Yaakob. Maka, nak keluar… tunggu apa lagi….

 

ends