70 pertubuhan serah memorandum 'mansuh ISA' di Parlimen esok

Petaling Jaya, Okt 18 (Hrkh) - 70 buah pertubuhan dijangka akan berhimpun di
Parlimen esok (19 Oktober) untuk menyerahkan memorandum memansuhkan Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diwarisi daripada penjajahan British.

Dalam satu kenyataannya, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang menjadi
sekretariat kepada Jawatankuasa Ad-Hoc "Kumpulan Rakyat Menentang ISA"
mengumumkan memorandum tersebut ditandatangani oleh kesatuan sekerja dan
badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan akan diserahkan kepada Ketua Parti
Pemerintah, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Ketua Pembangkan Dato Fadzil
Noor dan Speaker Dewan Rakyat.

Sementara itu, beberapa program telah disusun bagi memperingati 40 tahun
akta ISA digunakan di Malaysia. ISA digubal pada 1 Ogos, 1960.

Pada 29 Oktober (Ahad), suatu konvoi akan diadakan ke Kem Kamunting, iaitu
penjara yang dikhaskan untuk mereka yang ditahan di bawah ISA. [Sila lihat
graf tahanan ISA di Kamunting, 1996-2000]

Antara program yang diatur di Kamunting ialah pembacaan Deklarasi Mansuhkan
ISA pada jam 9 pagi, dan pelepasan belon-belon ke udara dengan kain rentang,
" Mansuhkan ISA".

Selepas itu, majlis forum yang disertai oleh bekas tahanan ISA akan diadakan
di Kampung Pasir, Kamunting. Sebuah pameran bagi tujuan memberikan
penerangan tentang ISA dan bentuk penyeksaan yang dilalui tahanan ISA juga
akan diadakan pada hari tersebut.

Ulangtahun penggubalan ISA juga diingati dengan penyebaran secara meluas
risalah "40 Sebab Mengapa ISA Mesti Dimansuhkan", yang dicetak dalam empat
bahasa.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan menyertai program
"Mansuhkan ISA" boleh menghubungi Suaram, Tel: 03-77843525.