Salam Reformasi

2 TAHUN SUDAH BERLALU

Sekalung tahniah Komentar ucapkan kepada Parti keADILan Nasional yang sudah menjangkau 2 tahun. Masih segar dalam ingatan Komentar pertama kali keADILan di lancarkan. Sungguh bersemangat dan benar-benar menunjukkan kebangkitan rakyat yang bersepadu menuntut perubahan dan pembebasan Sdr Anwar Ibrahim. Pelancaran Parti Keadilan Nasional memberi wadah baru dalam politik negara ini.

keADILan ditubuhkan atas tuntutan demokrasi yang setakat ini hanya diukur dengan mengadakan piliharaya. Kita akan berhadapan dengan pilihanraya umum dan satu wadah diperlukan untuk menyalurkan undian rakyat. Lantas tak kala itu pembentukkan parti baru diperlukan. Parti ini juga akan berlandaskan suara rakyat suara keramat dan parti ini dikatakan tertubuh atas kehendak rakyat khususnya pendokong reformasi.

Mulai dari itu logo parti itu terpapar di setiap kenderaan pendokong reformasi. Logo parti keADILan inilah menjadi kebanggaan pejuang reformasi yang pada masa itu mahukan pengunduran Dr Mahathir dan keadilan buat Anwar Ibrahim. Kenderaan penuh dengan logo-logo keadilan dan perjuangan disemarakkan dengan suara rakyat menjadi penentu.

Kini 2 tahun sudah berlalu. Perjuangan mesti diteruskan. keADILan hadir menyambut tahun keduanya. Wadah ini masih wujud untuk memperjuangkan keadilan dan memperbaiki sistem usang yang ada sekarang ini. keADILan masih menjadi harapan dalam kancah politik yang sebegini hebat bermula dari tarikh pemecatan Sdr Anwar Ibrahim.

keADILan sudah melangkau jauh dan ada kalanya ibarat meninggalkan reformis yang serba kurang arif dengan apa yang dikatakan politik. keADILan kini bersilat dalam senario politik negara kita ini.

Politik sudahnya keADILan. Politikus sudahnya kita semua.

Dengan doa tulus ikhlas, Komentar mengharapkan keADILan dapat memperjuangkan kemurnian tuntutan islah kita. Dengan harapan yang tinggi, Komentar percaya keADILan dapat menjana kembali semangat perjuangan yang ada tetapi seakan tersisih.

Berdoa kita kepada ALLAH SWT agar semangat juang kita tidak luntur dan agar Parti Keadilan Nasional yang ditubuhkan atas pegangan "suara rakyat suara keramat" dapat berkekalan dengan tujuan dan perjuangan yang serupa yakni :- menuntut perubahan/islah dan seruan reformasi.

Hormat dari Komentar.