KOMENTAR

 

13hb Julai 2000

Salam Reformasi,

 

SUDAH HAMPIR 2 TAHUN BERLALU

 

Tidak berapa lama lagi genap 2 tahun perjuangan menuntut reformasi dilaksanakan. Sudah hampir 2 tahun kita di dedahkan dengan kejijikan pemerintahan era dan ala Mahathirisme. Namun dengan kesedaran rakyat, kejatuhan undi melayu untuk UMNO pada pilihanraya ke 10, kebangkitan pelajar dan pendedahan kepada rasuah kepimpinan UMNO masih tidak cukup untuk kita bertempur dan membela keruntuhan keadilan. Berhempas pulas peguam-peguam Sdr Anwar Ibrahim berhempas pulas juga kuncu-kuncu Mahthir menegakkan kezaliman dalam negara kita ini. Kebangkitan reformasi, kesedaran rakyat khususnya generasi muda, kesedaran keruntuhan keadilan serta kepincangan pemerintahan Barisan Nasional hanya membawa kita kepada satu perjuangan yang hebat pada pilihanraya ke 10. Bertempur dengan gagah tetapi tewas bersama-sama keadilan. Gugurnya demokrasi dan runtuhnya sistem keadilan kita hanya menunjukkan betapa seriusnya penyakit dalam kerajaan pemerintahan sekarang. Peluang menang di pilihanraya ke 10  amat cerah sekali tetapi malang, demokrasi kita tergadai oleh ketamakkan rakyat kita sendiri. Demokrasi kita tergadai dengan sikap mementingkan diri sendiri oleh sesetengah masyarakat kita. Mereka masih ada yang mahu bersenkongkol dengan Mahathir walau tahu akan perbuatan terkutuknya. Sayang antara rakyat melayu kita masih takut kepada perubahan dan seboleh-bolehnya tetap akan menyokong parti Barisan Nasional kerana dengan korupnya kerajaan ini maka amat mudah mereka memunggah segala hasil dan kekayaan.

SDR ANWAR MASIH LAGI MANGSA KEKEJAMAN PEMERINTAHAN

 

Tahun 2 akan sampai seketika nanti. Sdr Anwar masih lagi terpenjara. Isu beliau menjadi pendorong utama gerakan reformasi. Laungan REFORMASI masih lagi kedengaran sungguhpun semakin hari semakin sayup. Antara mereka yang tangkas ber-reformasi kini sudah seakan hilang suara. Jaguh reformasi kita yang ditahan di lokap dan mangsa ISA kini sepi seakan malu dengan keADILan. Kemana mereka semua menghilang? Apakah nipis sudah perjuangan mereka? Apakah mereka sudah berpaling tadah? Apakah mereka kecewa? Kemana perginya mereka ini?

 

Jawapannya ada. Mereka masih setia pada perjuangan reformasi tajaan Sdr Anwar Ibrahim. Mereka yang dipukul, diseksa dan terikat sebagai tahan ISA masih setia pada perjuangan. Malang mereka agak kecewa. Kecewa kepada senario semasa. Kecewa melihat kewujudan parti hanya menyepikan perjuangan reformasi yang mendesak Mahathir untuk turun dari tahta. Mereka keliru melihat mainan politik yang sehebat Barisan Nasional (mungkin).

 

Keadaan sudah berubah. Antara kita sudah berani melaungkan bahawa kita perjuangan ini melampaui Sdr Anwar kerana tidak mahu kononnya kita taksub kepada sesaorang pemimpin. Kita mahu meminggirkan isu Sdr Anwar Ibrahim sebagai mangsa perjuangan menuntut keadilan.

 

Bagi mereka perjuangan ini bukan perjuangan bagi isu Sdr Anwar Ibrahim. Mereka mahu melampaui isu Anwar Ibrahim dan cuba membawa pendokong keadilan dan reformasi untuk memberhentikan taksub mereka pada Sdr Anwar Ibrahim. Jelas mereka tidak sedar. Jelas mereka jahil dalam perkara ini. Sedarlah bahawa kita mahu membebas Sdr Anwar Ibrahim bagi menunjukkan bahawa mangsa kezaliman paling dahsyat di Malaysia telah terbela. Kita meletakkan perkara ini sebagai garis pengukur kemenangan kita. Kita jangan pula di tuduh taksub semata-mata membela Sdr Anwar Ibrahim. Kita sebut berkali-kali namanya kerana beliau di fitnah, dituduh dengan keji dan segala sistem demokrasi dan undang-undang dicabuli kerana takut akan reformasi tajaan dan laungan beliau.

 

Inilah perjuangan. Inilah yang kita mahukan. Inilah yang kita tuntut. Kita tidak perlu mereka yang sekarang ini angkuh menjawat jawatan semata-mata mahukan sesuatu sekiranya suara rakyat menjadi suara keramat dalam perjuangan ini.

 

Perjuangan tetap diteruskan.