KENYATAAN MEDIA

PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT
20 JANUARI 2001


Satu majlis sambutan Hari Raya yang dinamakan Perhimpunan Raya 100,000
Rakyat akan dianjurkan pada 20 Januari 2001, hari Sabtu bermula 2:30 petang
bertempat di Lot 2106 Batu 9 ¼  Kampong Medan, Telok Panglima Garang, Kuala
Langat Selangor.

Sambutan ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
yang terdiri daripada beberapa orang ahli daripada jawatankuasa  yang
merancang  Perhimpunan 100,000 Rakyat di Markas keADILan Jalan Kebun pada 5
November yang lalu.

Lokasi sambutan Hari Raya tersebut merupakan sebuah tapak tanah seluas 2
ekar milik seorang nenek berusia 76 tahun yang amat bersimpati dengan para
penyokong reformasi yang dihalang menghadiri perhimpunan aman di Jalan Kebun
pada 5 November lalu. Di atas rasa simpati tersebut beliau telah menawarkan
kepada Jawatankuasa untuk menggunakan tapak tanah tersebut bagi tujuan
sambutan Hari Raya.

Kampong Medan, Telok Panglima Garang terletak kira-kira 4 kilometer dari
Persimpangan Klang-Banting susur keluar Lebuhraya KESAS.

Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat ini diadakan bagi meneruskan aspirasi rakyat
berhimpun secara aman serta beramah mesra mengukuhkan silaturahim di antara
satu sama lain setelah sekian lama bersama-sama mendukung reformasi dan
menegakkan keadilan. Bagi muslimin dan muslimat, Perhimpunan ini merupakan
majlis untuk merayakan kejayaan mereka melaksanakan 'ibadah sepanjang
Ramadan. Diharapkan semangat pengislahan diri dalam bulan Ramadan Al-Mubarak
menjadi bekalan penting bagi melonjakkan semangat reformasi pada bulan-bulan
seterusnya.

Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat juga dianjurkan sebagai mengambil kesempatan
meraikan para penyokong Barisan Alternatif dan pendukung gerakan reformasi
yang beragama Kristian yang menyambut Krismas pada 25 Disember ini. Pada
masa yang sama juga perhimpunan yang akan diadakan menjelang Sambutan Tahun
Baru Cina bertujuan untuk menghargai sokongan dan sumbangan masyarakat Cina
dalam perjuangan menegakkan keadilan dan mendukung cita-cita reformasi
politik dan ekonomi negara yang tercinta ini.

Sambutan Hari Raya yang mengambil kira kedua-dua perayaan rakyat beragama
Kristian dan masyarakat Cina ini amat selaras dengan cita-cita dan agenda
Barisan Alternatif dan gerakan reformasi. Di samping itu, Perhimpunan Raya
100,000 Rakyat ini juga mengambil langkah awal meletakkan asas kerjasama
antara rakyat pelbagai agama seperti yang bakal diisytiharkan oleh
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa tahun 2001 adalah Tahun Dialog
Antara Agama Sedunia.

Dalam kemesraan serta perpaduan pelbagai kaum dan agama ini, Perhimpunan
Raya 100,000 Rakyat juga bertujuan untuk memberi penghargaan kepada para
penyokong Barisan Alternatif dan aktivis reformasi yang telah memberi
sumbangan tenaga, masa dan wang ringgit mereka dalam Pilihanraya Kecil DUN
Lunas yang lalu. Sambutan Hari Raya kali ini juga bertujuan untuk meraikan
kemenangan Barisan Alternatif di Lunas.

Semua pimpinan tertinggi Barisan Alternatif yang terdiri daripada Presiden
PAS, YB Dato' Hj. Fadzil Mohd Noor, Presiden keADILan, YB Datin Seri Dr. Wan
Azizah Wan Ismail, Pengerusi Kebangsaan DAP, En. Lim Kit Siang dan Presiden
PRM, Dr. Syed Husin Ali akan diundang untuk bersama-sama rakyat merayakan
sambutan kali ini.

Jawatankuasa menjangkakan lebih 100,000 orang penyokong Barisan Alternatif,
wakil-wakil rakyat, penduduk tempatan, para aktivis NGO, aktivis reformasi,
TPR (Tahanan Politik Reformasi) dan rakyat pelbagai lapisan dari seluruh
negara akan menghadiri sambutan Hari Raya tersebut. Bagi tujuan itu, lebih
500,000 naskhah poster dan risalah pengumuman akan dicetak dan diedarkan ke
seluruh negara.

Jawatankuasa juga mendapat bantuan daripada kedua-dua barisan pimpinan
keADILan Bahagian Kuala Langat dan PAS Kawasan Kuala Langat bagi memastikan
sambutan Hari Raya ini berjalan lancar. Jawatankuasa Kerja di peringkat
Kuala Langat akan menjalankan urusan memaklum dan memberitahu pihak polis di
Balai Polis Daerah Banting dan balai-balai polis Telok Panglima Garang dan
Telok Datok tentang sambutan ini. Seluruh keluarga dan anggota polis yang
tidak bertugas di seluruh Kuala Langat juga turut diundang untuk merayakan
sambutan Hari Raya bersama-sama rakyat.

Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat akan memaklumkan majlis ini
kepada SUHAKAM serta meminta mereka menghantar wakil untuk memantau majlis
sambutan ini. Selain itu para wartawan daripada media-media tempatan dan
luar negara juga akan turut diundang menghadiri perhimpunan ini.

Sebagai mengenang sumbangan para TPR yang ditahan ekoran Perhimpunan 100,000
Rakyat 5 November lalu, Tabung Satu Ringgit Seorang Rakyat akan dilancarkan
dan kutipan derma orang ramai untuk mengumpulkan dana bagi pembiayaan wang
ikat jamin para TPR akan diadakan ada hari tersebut.

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi
Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat
Raya100000Rakyat@mailandnews.com

18 Disember 2000
bersamaan dengan 22 Ramadan 1421