PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT

Perutusan [2]

Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,

13.              Usaha Jawatankuasa mengundang SUHAKAM untuk menghantar wakil dalam sambutan Hari Raya menunjukkan komitmen kita bahawa perhimpunan ini adalah satu perhimpunan aman. Jawatankuasa meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa penyokong dan rakyat akan datang menghadiri Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat semata-mata dengan niat untuk merayakan sambutan Hari Raya secara aman.

14.              Sebab majlis sambutan Hari Raya ini dinamakan Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat adalah sebagai menunjukkan komitmen bagi meneruskan aspirasi rakyat untuk berhimpun secara aman. Ia juga dinamakan sedemikian untuk melambangkan solidariti rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama untuk terus menegakkan hak mereka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk berhimpun secara aman.

15.              Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat adalah satu majlis sambutan Hari Raya. Ia merupakan lanjutan daripada amalan rakyat negara ini yang merayakan sambutan Hari Raya ‘Aidil Fitri dengan mengadakan majlis-majlis rumah terbuka sepanjang bulan Syawal. Menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena Hari Raya sudah menjadi amalan biasa rakyat negara ini. Tujuannya jelas, iaitu untuk memenuhi undangan tuan rumah yang menyediakan hidangan makanan dan minuman sambil merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara satu sama lain.

16.              Akhir-akhir ini telah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia mengadakan majlis-majlis “rumah terbuka” di tempat-tempat terbuka seperti kawasan pejabat serta taman-taman rekreasi. Penganjur meminta para peserta serta keluarga masing-masing hadir dengan membawa sedikit juadah untuk dikongsi bersama dalam majlis tersebut. Majlis seumpama ini disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

17.              Mengambil semangat daripada amalan positif rakyat negara ini menyambut Hari Raya, Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat berhasrat menjadikan sambutan pada 20 Januari di Kampong Medan ini sebagai kemuncak sambutan Hari Raya kali ini di kalangan penyokong Barisan Alternatif, aktivis reformasi serta seluruh rakyat yang cintakan keadilan dan pembaharuan di negara ini.

18.              Namun apa yang lain dalam sambutan Hari Raya pada 20 Januari 2001 di Kampong Medan ini adalah ianya akan dihadiri oleh sekurang-kurangnya 100,000 rakyat dari seluruh negara dengan masing-masing membawa juadah untuk sama-sama dikongsi dengan rakan-rakan daripada pelbagai kaum dan agama.

19.              Di atas semangat inilah Jawatankuasa menyeru agar semua penyokong Barisan Alternatif, aktivis reformasi dan seluruh rakyat Malaysia datang beramai-ramai memeriahkan sambutan Hari Raya yang dinamakan Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat ini.

20.            Perhimpunan ini adalah majlis sambutan Hari Raya raksasa yang serentak mengambil kesempatan meraikan masyarakat Kristian yang baru menyambut Krismas dan juga masyarakat Cina bakal merayakan Tahun Baru Cina tidak berapa lama lagi.

21.              Rebutlah peluang untuk hadir beramai-ramai mencipta sebuah sejarah gemilang negara ini. Sekali lagi, jangan lupa:

Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat

Tarikh: 20 Januari 2001 (Sabtu)

Masa: bermula 2:30 petang

Tempat: Lot 2106 Batu 9¼ Kampong Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor.

22.            Datanglah beramai-ramai berserta kaum keluarga dan sahabat handai ke perhimpunan di atas. Wakil-wakil daripada SUHAKAM dan media-media tempatan dan luar negara akan menjadi saksi bahawa perhimpunan ini adalah satu perhimpunan aman.

23.            Perhimpunan ini juga akan membuktikan bahawa rakyat yang menyokong pembentukan sebuah sistem pentadbiran dan kepemimpinan politik alternatif di negara ini adalah golongan yang cintakan keamanan dan bencikan kezaliman serta keganasan.

“Kembalikan Hak Rakyat”

 

Hj. Saari Hj. Sungib

Pengerusi,

Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat

Raya100000Rakyat@mailandnews.com

2 Januari 2001

bersamaan dengan 7 Syawal 1421