Menggulingkan kerajaan - pilihanraya atau jalanraya?

Adalah menjadi kewajipan setiap manusia yang terjajah berjuang mendapatkan kemerdekaannya. Menjadi kewajipan setiap manusia yang tertindas membela nasibnya. Menjadi kewajipan juga untuk membela nasib saudara dan orang lain yang ditindas. Oleh itu adalah menjadi wajib untuk menentang pemerintahan yang zalim.

Kerajaan yang ada mungkin memenangi pilihanraya tetapi apakah mereka benar-benar menjadi pilihan rakyat. Bagaimana dengan penipuan, pengundi hantu, silap mata SPR dan blackout di Sarawak? Ini semua membuka ruang untuk penipuan dan menafikan pilihan rakyat. Oleh yang demikian pilihanraya yang baru lalu tidak boleh menjadi ukuran sebenar penerimaan rakyat terhadap Barisan Nasional.

Kezaliman yang memuncak menuntut rakyat untuk bertindak dengan apa saja cara yang ada bagi membetulkan keadaan. Apakah rakyat boleh menunggu sehingga lima tahun sedangkan penipuan dan penganiayaan berlaku terang-terangan di hadapan mata? Ratusan juta wang rakyat dirampas untuk memenuhi tembolok Tajuddin.

Hasilnya Tajuddin akan mendapat RM 24 juta faedah simpanan tetap setahun dari untung menjual MAS. Ini bermakna tanpa berbuat apa-apa sekalipun Tajuddin memperolehi RM54 setiap minit. Tidurnya RM54 seminit, hatta beraknya pun RM54 seminit. Bagaimana peneroka dan pekebun kelapa? Wakil rakyat mereka dari BN tetapi mereka hanya perolehi pendapatan RM 50 SEBULAN. Apakah dalam kemiskinan dan kemelaratan ini mereka mampu menunggu sehingga lima tahun?

Sanggupkah kita menunggu lima tahun untuk menghentikan penyamunan wang kita oleh pemerintah? Dalam lima tahun ini, berapa bilion lagi yang mahu kita biarkan mereka sapu?

Memang rakyat mahu menggulingkan kerajaan! Rakyat mahu menukar kerajaan kerana pemerintahan ini korup dan zalim. Mencegah kezaliman dan kemungkaran adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia sepanjang masa. Kita tidak boleh menunggu sehingga lima tahun lagi baru mahu bertindak menghapuskan kezaliman ini.

Apabila pilihanraya diadakan pada 1999, seluruh tenaga dan sumber kita ditumpukan untuk menjatuhkan diktator tua Mahathir itu. Kita tidak memboikot pilihanraya tetapi kerana mereka memperalatkan sumber dan dana negara kita gagal menggulingkan kerajaan melalui pilihanraya umum ke 10 itu. Apakah dengan itu bermakna kita perlu diam dan tidak berbuat apa-apa, sekadar mahu menunggu 2004?

Kita harus meneruskan usaha untuk menggulingkan Mahathir. Apabila datang pilihanraya kesebelas kita akan menumpukan tenaga untuk mengalahkan Mahathir. Tetapi sementara menanti pilihanraya, kita tidak boleh berdiam diri. Demonstrasi harus diteruskan, kerana hanya bahasa ini yang difahami mereka. Mereka tidak mahu mendengar dan berubah, oleh itu tidak ada gunanya perundingan dan nasihat. Mereka sudah tuli dan buta, hati mereka dicap maka mereka tidak mahu berubah. Kita harus berbicara dalam bahasa yang mereka fahami -- kuasa rakyat.

Oleh itu, seluruh tenaga rakyat perlu ditumpukan untuk menggulingkan pemerintah sekarang dengan apa saja cara yang ada. Lakukan segala-galanya demi menghentikan kezaliman dan penyelewengan.

Pada 9 Mac ini perhimpunan di Masjid ar-Rahman, UM mesti dijayakan demi menunjukkan kuasa rakyat tidak boleh dipadam. Mereka menahan Anwar, tetapi rakyat tetap bangkit. Mereka tahan Ezam, rakyat akan tetap bangkit. Seluruh kekuatan rakyat harus digerakkan berhimpun di UM jam 2.30 petang, 9 Mac demi menjatuhkan diktator dan rejim zalimnya.

Hanya satu pilihan yang ada pada Mahathir untuk mengelakkan kebangkitan kuasa rakyat -- undur segera!

Bagi rakyat, antara pilihanraya dan jalanraya tidak ada untuk dipilih. Kedua-duanya digunakan. Apa saja caranya asalkan pemerintah zalim digulingkan.

Ahmad Zaki Yamani